Singapura: Pemain-pemain muda di bawah Program Pembangunan Golf Junior Kebangsaan Malaysia (NJDP-MGA) terus mempamerkan kecemerlangan apabila mencatatkan prestasi membanggakan dalam International College Golf Championship 2026 yang berakhir semalam di Laguna National Golf Resort Club, Singapura.
Kejohanan tiga hari itu yang menghimpunkan hampir 100 pemain junior dari hampir 10 negara turut mendapat perhatian jurulatih daripada universiti golf terkemuka Amerika Syarikat yang hadir bagi menilai bakat-bakat muda berpotensi di rantau ini.
Tumpuan utama diberikan kepada Ammer Aiman yang membuktikan dia antara produk terbaik NJDP-MGA dan bersedia untuk muncul sebagai pemain utama negara pada masa hadapan apabila berjaya menjuarai kategori Bawah 19 Tahun.
Kejayaan Ammer mengatasi dua pemain tuan rumah Singapura satu pencapaian amat membanggakan selepas menamatkan kejohanan dengan jumlah skor empat pukulan di atas par menerusi catatan 76, 72 dan 72.
Bermain di lapangan bertaraf antarabangsa yang menjadi venue tetap Asian Tour dengan fairway yang sempit dan mencabar, Ammer mempamerkan ketahanan mental serta kematangan permainan yang tinggi sepanjang kejohanan.
Sementara itu, dua bakat muda berusia 13 tahun yang baru diserapkan ke dalam program NJDP-MGA, Adli Hazim dan Quincie turut membuktikan pemilihan mereka ke dalam skuad elit golf junior negara berasaskan merit dan kemampuan sebenar.
Adli mempamerkan aksi cemerlang dalam kategorinya apabila berjaya menewaskan pencabar dari Singapura dan Jepun. Dalam saingan yang sengit sehingga ke lubang terakhir, dia menunjukkan kekuatan mental luar biasa dengan melakukan birdie pada lubang penamat bagi mengatasi pemain Jepun, Shota Suda, serta pemain Singapura, Amirul Ash Siddiq.
Adli menamatkan kejohanan dengan skor 69, 78 dan 74 untuk muncul juara dengan kelebihan dua pukulan ke atas pencabar terdekatnya.
Dalam kategori perempuan pula, Quincie turut mencipta kejayaan manis apabila muncul juara Girls C, sekali gus membuktikan Malaysia mempunyai pelapis berkualiti yang mampu meneruskan kesinambungan kecemerlangan sukan golf negara pada masa hadapan.
Menurut Mohd Fauzi Mesran, Pengerusi Pembangunan Golf Junior Malaysia merangkap pengurus pasukan, pencapaian diraih pemain membuktikan keberkesanan program pembangunan yang dilaksanakan oleh NJDP-MGA.
“Seramai 10 pemain dihantar menyertai kejohanan ini dan kejayaan meraih tujuh kedudukan podium merupakan satu pencapaian amat membanggakan. Ia membuktikan pemain-pemain junior Malaysia mampu bersaing dengan pemain terbaik dari rantau ini dan semakin mendapat perhatian jurulatih-jurulatih universiti golf Amerika Syarikat.
“Ammer Aiman membuktikan sudah bersedia untuk melangkah ke tahap lebih tinggi, manakala Adli Hazim dan Quincie pula menunjukkan Malaysia mempunyai pelapis berkualiti untuk masa depan. Saya amat berpuas hati dengan komitmen dan prestasi ditunjukkan semua pemain sepanjang kejohanan ini,” katanya.
Mohd Fauzi turut berharap agar pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) dapat terus memberikan sokongan kepada pembangunan golf junior negara.
Kejayaan meraih tujuh podium daripada 10 pemain yang dihantar ke kejohanan itu menjadi petanda positif bahawa Program Pembangunan Golf Junior Kebangsaan Malaysia (NJDP-MGA) berada di landasan tepat dalam melahirkan generasi baharu pemain golf yang berpotensi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd






