Pendiam tiba-tiba ceria, rupanya petanda abang sulung akan 'pergi'

Pendiam tiba-tiba ceria, rupanya petanda abang sulung akan 'pergi'


am@hmetro.com.my

Gua Musang: Seorang lelaki tidak menyangka cuti Sambutan Deepavali baru-baru ini menjadi pertemuan terakhir dengan abang sulungnya yang maut diserang gajah liar di Felda Aring 8, di sini, kelmarin.

Menurut Sulaiman Jahari, 32, cuti sambutan Deepavali baru-baru ini, abang sulungnya, Saidi Jahari, 43, sempat menjemput dia untuk makan malam di rumahnya.

Katanya, abangnya seorang yang pendiam, namun sewaktu makan malam bersama arwah kelihatan sangat ceria dan rancak berbual.

“Saya tidak menyangka itu adalah pertemuan terakhir kami. Kebiasaannya arwah seorang yang pendiam tidak banyak bercerita, namun ketika kami makan bersama, dia sangat ceria dan rancak berbual.

“Namun tidak mengesyaki apa-apa. Arwah sudah lama berkerja dalam bidang pembalakan ini kira-kira 30 tahun, namun hanya baru dua minggu bekerja di kawasan balak di Felda Aring 8 ini.

“Saya difahamkan kawasan Felda Aring 8 tempat arwah bekerja ini baru di buka untuk pembalakan,” katanya ketika ditemui di unit Forensik Hospital Gua Musang, di sini, malam tadi.

Sulaiman berkata, selama arwah bekerja dalam bidang terbabit abang sulungnya itu tidak pernah bercerita tentang pekerjaan atau pengalaman terserempak haiwan liar.

Katanya, dia menerima panggilan kira-kira jam 11 pagi semalam yang memaklumkan kejadian sebelum bergegas ke Hospital Gua Musang.

“Kami menerima makluman abang meninggal dunia selepas diserang gajah liar di tempat kerja baharunya dekat Felda Aring 8.

“Saya tiba dari Ketereh kira-kira 3 petang tadi (semalam) dan malam ini, jenazah baru dapat dituntut. Jenazah arwah abang akan dikebumikan di Ketereh sejurus sampai di sana,” katanya.

Terdahulu, seorang pekerja balak ditemukan maut dalam keadaan mengerikan dipercayai diserang gajah liar di kawasan rumah kongsi kawasan pembalakan Felda Aring 8 di kelmarin.

Mangsa yang juga mandur di kawasan pembalakan itu dijumpai dalam keadaan kesan cedera parah pada tubuh badan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top