July 27, 2024

Pengawal pantai AS sasar perkukuh kerjasama, jadi rakan pilihan Malaysia

Pengawal pantai AS sasar perkukuh kerjasama, jadi rakan pilihan Malaysia


Kuala Lumpur: Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) mahu meluaskan kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi menggalakkan keamanan, kestabilan dan kedaulatan undang-undang dalam domain maritim di rantau ini.

Komandan USCG Laksamana Linda Fagan menyatakan komitmen untuk mengukuhkan hubungan dengan negara ini, menekankan peranan Malaysia yang semakin berkembang sebagai rakan kongsi komprehensif, terutamanya dalam keselamatan maritim di rantau ini, di tengah-tengah cabaran keselamatan maritim.

“Malaysia adalah peneraju keselamatan maritim yang sangat penting di Asia Tenggara dan APMM adalah bahagian penting dalam hal itu. Kepimpinan dan perkongsian itu, adalah rakan kongsi penting kepada kami di rantau ini.

“Malaysia memainkan peranan dalam tadbir urus keselamatan maritim itu. Dan ia adalah kunci kepada keselamatan, keamanan, perlindungan alam sekitar semua alam maritim di rantau ini,” katanya dalam temu bual dengan media.

Ini katanya termasuk membina lagi perkongsian sedia ada dengan APMM sambil melihat peluang baharu kepentingan bersama dan sejajar yang boleh diterokai dan diperkukuhkan oleh kedua-dua pihak.

“Kami mengalu-alukan semua peluang (untuk kerjasama), mengukuhkan dan mengesahkan apa yang telah kami lakukan sebagai rakan kongsi dengan APMM dan mencari peluang tambahan, sama ada latihan bersama, interoperabiliti, latihan meja, pertukaran pemimpin utama atau pertukaran kepakaran,” katanya.

Ini adalah lawatan pertama Fagan ke Malaysia sejak pelantikan bersejarahnya sebagai komandan wanita pertama USCG pada Jun 2022.

Semasa lawatan tiga hari beliau di sini, dalam perjalanan untuk menghadiri Dialog Shangri-la di Singapura, Fagan mengadakan mesyuarat peringkat tinggi dengan kepimpinan APMM dan Kementerian Dalam Negeri, yang memberi tumpuan untuk memastikan dan meningkatkan ‘keupayaan Malaysia untuk menguatkuasakan kedaulatannya dalam domain maritim’.

Mesyuarat juga merangkumi kerjasama dalam keselamatan dan keamanan, pengawasan alam sekitar, mencari dan menyelamat serta penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (penangkapan ikan IUU).

Beliau juga menyatakan pertumbuhan dan pencapaian yang sudah dicapai APMM sekarang berbanding 2019 ketika pertama kali terbabit dengan agensi Malaysia itu dalam kapasitinya sebagai komander untuk Kawasan Pasifik USCG.

“Malaysia sebagai rakan kongsi komprehensif terus berkembang, dan APMM khususnya terus berkembang kukuh dalam keupayaan dan kapasiti mereka.

“Terdapat sejumlah besar pengangkutan marin yang kami lihat ketika kami terbang, semalam. Semua kapal itu membawa kemakmuran ekonomi kritikal ke rantau ini. Malaysia memainkan peranan dalam tadbir urus keselamatan maritim. Dan ia adalah kunci kepada keselamatan, keamanan, perlindungan alam sekitar semua alam maritim di rantau ini,” katanya.

Pengawal Pantai, cawangan Angkatan Tentera AS, adalah agensi Persekutuan utama yang bertanggungjawab untuk keselamatan maritim, keamanan dan pengawasan alam sekitar di pelabuhan AS dan jalan air pedalaman, pantai AS dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan kawasan laut lepas.

Ia juga mempunyai kehadiran di perairan global melalui kerjasama strategik dengan negara-negara yang sehaluan.

“Dan apabila saya melihat ke depan, saya hanya melihat peluang untuk kita bersama. Sungguh, cabaran keselamatan maritim di rantau ini dan seluruh dunia memerlukan kerjasama kuat, pembabitan bilateral dan multilateral serta kepimpinan merentas pelbagai topik.

“Kami teruja kerana mempunyai kemahiran dan peluang untuk membantu dalam perbincangan ini dan membawa ia ke hadapan. Keinginan kami adalah untuk menjadi rakan pilihan yang berguna,” kata Fagan.

Dalam perkembangan berkaitan, Fagan menyatakan bahawa USCG akan memindahkan sebuah kapal kapal peronda kepada APMM tidak lama lagi, menandakan hubungan rapat antara mereka.

“Kami menantikan pemindahan satu daripada kapal peronda kami sepanjang 210 kaki yang kami sedang majukan dengan kerjasama rakan sejawatan dari Malaysia dan APMM,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution baru-baru ini dilaporkan berkata, USCG menawarkan untuk menyumbang sebuah kapal peronda kepada Malaysia untuk kegunaan APMM semasa lawatan kerjanya ke AS pada September tahun lalu.

Beliau juga menyatakan bahawa beberapa pegawai dan anggota APMM sudah dihantar ke AS untuk menilai keupayaan kapal peronda terbabit dan mengumpul laporan sebelum sebarang keputusan dibuat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top