am@hmetro.com.my
Alor Setar: Pengusaha donat susu yang sebelum ini tular dengan ‘tagline’ berunsur kurang sopan tampil memohon maaf dan sudah menukar nama akaun TikToknya, selepas dikritik pelbagai pihak semalam.
Menerusi hantaran di akaun TikTok Aulaida, individu terbabit mendakwa video yang tular baru-baru ini, bukanlah idea mereka, sebaliknya hanya melakonkan apa yang diarahkan sahaja.
“Untuk pengetahuan semua, ‘berayaq’ bermaksud doh kami yang cair dan bila makan donut cari di dalam mulut dan ‘jet’ itu adalah bermaksud terajang.
“Dan untuk pengetahuan semua, cirit itu bukanlah ‘tagline’ (slogan) dari kami dan video yang tular baru-baru ini bukanlah idea dari kami untuk bercakap tentang perkara itu.
“Kami hanya melakonkan apa yang diarahkan. Semoga menjawab semua persoalan,” katanya.
Menurutnya, mereka juga menukarkan nama ‘Donut Susu Berayaq’ kepada ‘Bertanah Donut Susu’.
“Kami menerima segala teguran dari kalian, dan nama kedua-dua akaun kami bertukar kepada ‘Bertanah’,” jelasnya.
Menurut kenyataan itu, pihaknya juga memohon maaf seandainya video mereka disalah tafsir oleh netizen.
“Ikhlas dari kami, hanya Allah maha pemberi rezeki. Kami memaafkan semua yang komen menghina kami, Insya-Allah kami akan perbaiki segala kelemahan,” katanya.
Semalam, media melaporkan tindakan peniaga donat susu di festival makanan di negeri ini yang menggunakan slogan berunsur tidak senonoh dan lucah untuk mempromosikan jualannya.
Ramai yang mempertikaikan video itu sebagai biadab dan tidak bermoral.
© New Straits Times Press (M) Bhd