May 24, 2024

Penjawat awam disyaki minta, terima rasuah dicekup SPRM


KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM4,800 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan yang dilakukan oleh bot-bot penangkapan ikan milik sebuah syarikat berkaitan hasil laut.

Sumber memberitahu, suspek lelaki berusia lingkungan antara 40-an dipercayai ditahan kira-kira jam 2.45 petang tadi di pejabat SPRM Perlis ketika diminta hadir memberi keterangan.

“Suspek seorang penjawat awam telah ditahan kerana dipercayai menerima wang rasuah berjumlah RM800 secara bulanan membabitkan enam transaksi melalui pindahan akaun orang tengah.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki terlibat dengan perbuatan itu sekitar tahun 2022,” kata sumber tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Kangar esok. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top