Putrajaya: Polis akan mendapatkan penjelasan daripada penganjur All Rider Kapcai Festival berhubung insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan remaja lelaki yang menghadiri program itu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Sabtu lalu.
Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kemalangan kecil membabitkan dua pihak daripada kumpulan berlainan.
“Sehingga kini, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak terbabit. Kami akan terus mempergiat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini tular video berdurasi kira-kira 30 saat di TikTok memaparkan pergaduhan sekumpulan remaja lelaki dipercayai berlaku di acara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd