Peristiwa angkara individu psikopat?

Peristiwa angkara individu psikopat?



hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sekiranya kematian kucing yang berlaku di Universiti Malaya (UM) di sini kerana tindakan kejam tangan manusia, tidak mustahil insiden berkenaan dilakukan individu yang mempunyai ciri seorang psikopat atau sangat membenci haiwan itu.

Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) R Kalaivanan berkata, berdasarkan kajian dan laporan kes terdahulu, dia berpandangan kemungkinan ia boleh berlaku atas beberapa sebab seperti gangguan psikologi iaitu psikopati atau sadisme.

Menurutnya, individu terbabit kekejaman seperti membunuh haiwan secara sengaja sering menunjukkan tanda psikopati atau gangguan psikologi.

“Psikopat adalah individu yang kekurangan empati dan tidak mempunyai perasaan bersalah walaupun bertindak kejam. Kekejaman terhadap haiwan sering menjadi permulaan kepada tindakan lebih besar termasuk kekerasan terhadap manusia.

“Ada individu membenci kucing kerana pengalaman buruk, persepsi negatif atau kepercayaan kucing adalah ancaman. Bagaimanapun, tindakan membunuh kucing secara sengaja mencerminkan kebencian yang tidak rasional dan tidak boleh diterima.

“Selain itu, terdapat individu yang mendapat kepuasan dengan menyakiti makhluk lemah seperti haiwan. Ini adalah ciri sadistik, dan ia memerlukan perhatian segera kerana ia bukan saja mengancam haiwan tetapi juga masyarakat secara keseluruhan,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya prihatin dengan laporan kematian beberapa kucing di universiti itu termasuk spekulasi mengenai kucing bernama Lily yang dikatakan mati akibat serangan senjata tajam.

Beliau berkata, jika dakwaan itu benar, ia amat kejam dan tidak dapat diterima dalam masyarakat bertamadun.

Berdasarkan perkongsian maklumat, tidak mustahil kejadian itu adalah perbuatan manusia dan bukan disebabkan haiwan lain seperti anjing liar.

Bagaimanapun katanya, perkara itu perlu disiasat dengan teliti, terutama jika terdapat bukti jelas seperti luka akibat senjata tajam pada badan kucing yang ditemui mati dan sekiranya benar, ini adalah satu bentuk pembunuhan bersiri haiwan, yang mencerminkan tahap kebejatan moral individu terbabit.

“Beberapa alasan yang menguatkan teori bahawa kejadian ini adalah perbuatan manusia seperti kesan luka yang tidak normal dan jika terdapat pola tertentu dalam cara kucing itu mati, ia mungkin menunjukkan bahawa tindakan ini dilakukan oleh individu yang mempunyai niat tertentu.

“Dalam kes terdahulu, individu yang membenci haiwan atau mengalami masalah psikologi tertentu mungkin melampiaskan kekejaman mereka terhadap haiwan.

“Jika tiada saksi atau rakaman yang menunjukkan kucing-kucing ini diserang anjing, andaian bahawa ia adalah kerja manusia menjadi lebih kukuh,” katanya.

Kalaivanan berkata, walaupun ‘mangsa’ dalam kejadian itu adalah haiwan, namun kesedaran mengenainya tetap perlu ditingkatkan selain tindakan sewajarnya juga perlu dilakukan sekiranya terbukti ia dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

“SAFM menyeru pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci dalam mengenal pasti punca sebenar kematian kucing itu termasuk analisis forensik haiwan dan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku sekiranya terbukti manusia terbabit.

“Kami menyarankan universiti berkenaan untuk meningkatkan pengawasan dengan menambah sistem pengawasan seperti kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kampus untuk memastikan keselamatan dan mencegah kejadian sama,” katanya.

Katanya, komuniti juga digalakkan memainkan peranan dalam melindungi haiwan, melaporkan sebarang kekejaman, dan mendidik orang sekeliling mengenai pentingnya melindungi kehidupan haiwan.

“Semua pihak perlu menyedari bahawa haiwan mempunyai hak untuk hidup bebas daripada penderitaan dan kekejaman. Kesedaran mengenai kebajikan haiwan mesti dipupuk dalam masyarakat untuk mencegah kekejaman seperti ini.

“Haiwan adalah makhluk yang mempunyai hak untuk hidup tanpa sebarang penderitaan seperti diiktiraf mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top