razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan segera Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka membantu menyelesaikan isu tuntutan perlindungan dua pekerja p-hailing di negeri ini wajar dicontohi dalam memastikan pekerja ekonomi gig sentiasa menerima perhatian sewajarnya.
Pengerusi Penaja Pertubuhan Tenaga GiG Melaka, Muhammad Nazli Zainul Abidin berkata, dua pekerja itu, Muhammad Azrul Rozelan mengalami strok manakala Mohamed Sharfirnaidi Yusof terbabit dalam kemalangan ketika sedang bekerja.
“Dalam kunjungan yang diadakan, Muhammad Azrul mendakwa belum sempat permohonan secara rasmi dikemukakan, pihak Perkeso menolaknya, manakala Mohamed Sharfirnadi mendakwa kesnya ditolak kerana carumannya luput seminggu sebelum kemalangan.
“Susulan maklumat ini, rakan NGO kami, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia membuat pertanyaan lanjutan ke ibu pejabat Perkeso dan agensi itu segera menghubungi responden bagi mendapatkan maklumat tepat.
“Pasukan Perkeso Melaka turut melakukan lawatan ke kediaman Muhammad Azrul pagi semalam bagi membantu beliau mengisi maklumat untuk tuntutan faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKPSPS),” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, tindakan segera Perkeso Melaka ini adalah satu contoh yang baik dalam memastikan kebajikan pekerja ekonomi gig di negeri ini sentiasa menerima perhatian sewajarnya kerana tanpa perlindungan, ia akan menggugat kesinambungan hidup pekerja p-hailing berkenaan.
“Kami juga berharap pihak Perkeso dapat mempercepatkan permohonan kedua-dua mereka yang kehilangan punca pendapatan.
“Lawatan seumpama ini akan terus dilakukan bagi memastikan semua pekerja ekonomi gig terutama sektor e-hailing dan p-hailing mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






