SMK Seksyen 19 menepati ramalan mara ke separuh akhir.
SAINGAN Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun (B-18) bakal menyaksikan empat pasukan terbaik membuat perhitungan pada aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung di Padang MBSA Seksyen 28, Rabu ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk pertandingan, Hashim Anang berkata, aksi separuh akhir tersebut bakal menyaksikan pertembungan sengit antara SMK Dato’ Harun menentang SMK Meru, manakala SMK Seksyen 19 pula akan berdepan SMK Tinggi Kajang.
“Menariknya kali ini, empat daerah menunjukkan kehebatan iaitu SMK Dato’ Harun mewakili Kuala Selangor,SMK Tinggi Kajang mewakili Hulu Langat, SMK Seksyen 19 mewakili Petaling Perdana dan SMK Meru mewakili daerah Klang bakal bertembung di separuh akhir.
“Saingan nampak cukup seimbang. Kita dapat lihat keempat-empat daerah ini menunjukkan kehebatan sebenar mereka untuk layak ke peringkat ini,” katanya kepada Sukan Sinar.
Dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung pada Isnin, SMK Dato’ Harun menewaskan SMK Dato’ Abu Bakar Baginda dengan keputusan 3-1, manakala SMK Meru menundukkan SMK Jalan Kebun 3-0.
Dalam pada itu, SMK Seksyen 19 mara selepas menewaskan SMK Seksyen 7 (3-2) dan SMK Tinggi Kajang pula melengkapkan senarai empat pasukan terbaik selepas menang tipis 1-0 ke atas SMK Bandar Saujana Putra.
Mengulas lanjut mengenai format kejohanan tahun ini, Hashim menjelaskan bahawa pihak penganjur mengambil pendekatan memilih sekolah-sekolah yang mempunyai rekod ranking terbaik di seluruh Selangor bagi menyertai pertandingan.
Jelas beliau, langkah itu diambil bagi mengelakkan jadual pertandingan bertindih dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula lebih awal iaitu pada November dan Disember.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga saingan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) selesai sepenuhnya kerana kita tidak mahu mengganggu fokus dan persiapan murid-murid untuk menghadapi peperiksaan SPM.
“Sebab itulah kita langsungkan kejohanan ini lebih awal. Selepas ini, kita akan sama-sama saksikan pasukan mana yang akan layak melangkah ke pentas final nanti,” ujarnya.
Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menjadi penaja utama Kejohanan (bawah 18 dan bawah 15 tahun) manakala Sinar Harian adalah akhbar rasmi.






