Petir sambar padang bola, pemain warga Malaysia antara 12 cedera, seorang maut

Petir sambar padang bola, pemain warga Malaysia antara 12 cedera, seorang maut


am@hmetro.com.my

Sungai Golok: Seorang pemain bola sepak warga Malaysia antara 12 individu yang cedera selepas padang disambar petir ketika kejohanan bola sepak di sini, petang tadi, manakala seorang pemain warga Thailand maut dalam kejadian itu.

Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Thun Sirikhunt berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang waktu tempatan selepas perlawanan separuh akhir kejohanan bola sepak Piala FA Golok di Stadium Santiphap.

Katanya, perlawanan antara SAMCOLTS dan Abu x Nong Sirin sudah berakhir apabila hujan lebat turun sebelum petir menyambar bahagian tengah padang.

“Kejadian itu mengakibatkan seorang maut dan 12 lagi cedera.

“Pegawai polis bergegas ke lokasi untuk memeriksa mangsa yang cedera dan, bersama seorang doktor, menjalankan bedah siasat terhadap mangsa yang meninggal dunia mengikut prosedur undang-undang,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang cedera dikenal pasti sebagai Mohammad Alif Ezzahan Zulkifli yang beraksi bersama SAMCOLTS, iaitu pasukan campuran pemain Thailand dan Malaysia.

Katanya, pasukan Malaysia yang menyertai kejohanan itu ialah Kelantan FC, manakala pemain yang terbabit turut membabitkan komuniti bola sepak tempatan.

Thun berkata, polis akan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan lanjut mengikut prosedur undang-undang.

Difahamkan, mangsa yang maut ialah pemain sayap Yala FC dari Thailand, Safwan Awe.

Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Golok untuk menerima rawatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top