SMK Dato’ Harun sudah bersedia berdepan SM Tinggi Kajang di pentas final.
KEJAYAAN mara ke pentas final kali ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh SMK Dato’ Harun untuk memenangi Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun (B-18).
Pasukan dari Tanjung Karang itu dijadualkan bertemu SMK Tinggi Kajang dalam aksi final yang dijangka sengit di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada malam ini.
SMK Dato’ Harun mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas menewaskan juara bertahan, SMK Meru dengan keputusan 1-0 dalam aksi separuh akhir.
Kejayaan ini amat bermakna bagi pasukan SMK Dato’ Harun, memandangkan pada edisi tahun lepas, impian mereka untuk ke perlawanan akhir disekat oleh SMK Seksyen 19 di peringkat separuh akhir.
Pengurus Pasukan SMK Dato’ Harun, Amre Zamani Kamarudin meluahkan rasa syukur atas kesungguhan para pemain yang berjaya mengatasi cabaran tersebut bagi menebus kekecewaan lalu.
“Alhamdulillah, kami bersyukur dapat menempah tempat ke perlawanan akhir tahun ini. Selepas terkandas di peringkat separuh akhir kepada SMK Seksyen 19 pada tahun lepas, kejayaan melangkah ke final kali ini amat menggembirakan dan menyuntik semangat seluruh pasukan.
“Akhirnya, usaha keras para pemain membuahkan hasil untuk kami kembali beraksi di pentas akhir kejohanan yang berprestij ini,” katanya.
Bagi memastikan misi kejuaraan berjalan lancar, Amre turut mengharapkan kehadiran penyokong tegar pasukan untuk memberikan sokongan moral di stadium nanti.
“Saya menyeru seluruh warga Tanjung Karang untuk turun beramai-ramai memberikan sokongan padu kepada pasukan di Arena MBSJ pada Jumaat,” ujarnya.
Kejohanan berprestij ini mendapat tajaan utama daripada Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi kategori bawah 18 dan bawah 15 tahun, manakala Sinar Harian sebagai akhbar rasmi kejohanan.






