Piala FA: JDT sebelah kaki ke separuh akhir

Piala FA: JDT sebelah kaki ke separuh akhir


KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) meletakkan sebelah kaki ke perlawanan separuh akhir Piala FA 2024/2025 musim ini apabila membelasah pasukan Liga A1, Malaysia University 5-0  dalam pertemuan suku akhir pertama di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, hari ini.

Malaysian University yang menjadi tuan rumah dan meminta bermain di gelanggang keramat JDT itu ketinggalan seawal minit kedua selepas pemain pertahanan kiri, La’vere Lawrence Corbin Ong menyambut hantaran Muhammad Syahmi Safari untuk meledak gol pembuka tirai.

Skuad kendalian Hector Pablo Bidoglio berpeluang menggandakan jaringan pada minit ke-38 menerusi sepakan percuma namun gagal dimanfaatkan pemain tengah Safiq Rahim apabila rembatannya terkena tiang.

Babak kedua menyaksikan JDT terus meningkatkan intensiti permainan, sekali gus menambah derita skuad bimbingan Mohd Farid Dewan selepas pemain import Francisco De Oliveira Geraldes mencuri tumpuan dengan meledak dua gol masing-masing pada minit ke-48 dan ke-61.

Pemain pertahanan Shahrul Mohd Saad meneruskan pesta gol Harimau Selatan apabila beliau yang tidak dikawal, menanduk gol keempat 10 minit kemudian, manakala penyerang naturalisasi Romel Morales mudah menolak masuk hantaran leret dari sebelah kiri oleh Corbin Ong untuk gol kelima pada minit ke-80.

Impian Malaysian University untuk sekurang-kurangnya membawa satu gol ke perlawanan timbal balik jdi SSI pada 5 Julai ini tidak kesampaian selepas jaringan pemain sayap Mohd Alief Najmi Mohd Radzi pada minit ke-84, dibatalkan susulan ofsaid dan kedudukan tersebut kekal sehingga tiupan wisel penamat.

Sementara itu, Kuching City FC memanfaatkan kelebihan gelanggang sendiri untuk mengejutkan juara lima kali Selangor FC 2-1 di Stadium Negeri, Kuching.

Bagaimanapun, Selangor kendalian Nidzam Jamil membuka jaringan apabila penyerang dari Chile, Ronnie Fernandez memanfaatkan situasi kelam kabut di depan pintu uuntuk mewaskan penjaga gol Kuching FC, Shahril Saari pada minit ke-31.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Kuching City berjaya menyamakan kedudukan menerusi tonggak pertahanan dari Nigeria, James Okwuosa yang pantas menyambar bola muntah penjaga gol Samuel Somerville selepas gagal menampan kemas tandukan  penyerang Jordan Mintah pada minit keenam masa kecederaan babak pertama.

Mintah muncul wira pasukannya apabila pemain berusia 28 tahun itu menghukum kealpaan pemain pertahanan Selangor Sharul Nazeem Zulpakar yang mendada bola ke arah Somerville sebelum dihidu penyerang dari Ghana itu untuk gol kemenangan pada minit ke-64.

Kemenangan dilakar skuad kendalian Aidil Sharin Sahak pastinya memberi sedikit tonik buat mereka yang bakal berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk aksi timbal balik 6 Julai ini. – BERNAMA

 



Source link

OR

Scroll to Top