July 15, 2024

Selangor FC tidak bersendirian, majoriti sokong secara senyap – Sanusi

Selangor FC tidak bersendirian, majoriti sokong secara senyap – Sanusi


KUALA LUMPUR – Isu hukuman berat yang dikenakan ke atas Selangor FC oleh Malaysian Football League (MFL) bukan sahaja menjadi bualan hangat kalangan peminat bola sepak malah menarik perhatian Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah yakin majoriti rakyat negara ini menyokong kelab itu secara senyap.

Beliau turut menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang kecewa dengan keputusan MFL yang mengenakan hukuman melampau kepada Selangor FC.

“Mereka tidak bersendirian… percayalah. Semua majoriti senyap rakyat Malaysia berdiri bersama Merah Kuning. Menjunjung Kasih Tuanku!” tulisnya di Facebook di sini. 

Sebelum ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenakan empat bentuk hukuman termasuk denda sebanyak RM100,000 kepada Selangor FC kerana ‘tidak hadir’ pada saingan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lalu.

Lembaga Pengarah MFL menetapkan denda berkenaan bakal disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

MFL dalam satu kenyataan berkata, tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024/2025.

Bagaimanapun semalam, MFL telah mengurangkan hukuman yang dikenakan daripada RM100,000 kepada RM60,000 terhadap Selangor FC sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ini kerana titah Sultan Sharafuddin, keputusan tersebut dianggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.

Namun bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan. – MalaysiaGazette

 



Source link

OR

Scroll to Top