June 24, 2024

Polis siasat ancaman Jemaah Islamiyah dalam negara


KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat sejauh mana ancaman daripada Jemaah Islamiyah (JI) di dalam negara ketika ini, susulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lebih 20 ahli JI dipercayai berada di Johor pada ketika ini, dan dijangkakan angka itu mungkin bertambah jika ahli di kawasan lain dikenal pasti.

“(Semuanya) masih dalam siasatan pihak polis,” kata Razarudin ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

Difahamkan, selain kejadian serangan balai polis itu, terdapat satu lagi kejadian yang berjaya dipatahkan oleh pihak polis semalam, turut mempunyai kaitan dengan insiden terbabit.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi, dua anggota polis iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, kedua-duanya berusia 22 tahun, maut selepas diserang seorang lelaki yang bersenjatakan parang dan merampas dua senjata api daripada anggota polis.

Seorang lagi anggota keselamatan cedera akibat ditembak dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala lelaki yang merupakan suspek utama kes itu mati ditembak di lokasi kejadian.

Kejadian mengejutkan itu turut mendapat perhatian pemimpin tertinggi negara iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang cuba melakukan kekacauan di Malaysia sehingga meragut nyawa.

“Soal keamanan kita tidak tolak ansur, kerajaan akan tegas. Nyawa rakyat ialah keutamaan kita, tiada maknanya kemajuan kalau keamanan tidak dikawal. Tindakan keras akan diambil bagi menghentikan kegilaan (keganasan) ini dan saya menyokong penuh langkah diambil PDRM,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut terkejut dan sedih atas insiden itu dan mewakili warga kementerian mengutuskan salam takziah kepada keluarga dua anggota yang terkorban.

“Saya juga mendoakan semoga afiyah dan kesembuhan segera buat Koperal Mohd Hasif Roslan yang mengalami kecederaan akibat ditembak,” menurut hantaran yang dikongsi di Facebook rasminya hari ini.

Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dan Allahyarham Muhamad Syafiq merupakan anggota ronda cegah jenayah di balai polis berkenaan dan berkhidmat dengan pasukan kira-kira dua tahun.

Terdahulu, Razarudin dalam sidang media hari ini berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu dipercayai ahli JI, susulan itu polis melakukan serbuan di rumah lelaki terbabit dan menahan lima ahli keluarganya berumur 19 hingga 62 tahun.

Lima ahli keluarga itu dan dua lagi suspek iaitu pelajar institusi pengajian tinggi yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok untuk mendapatkan perintah reman.

JI ialah sebuah organisasi ekstremis Islam yang ditubuhkan pada awal 1993 untuk membentuk “negara Islam” meliputi selatan Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, dan selatan Filipina.

Organisasi yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda ini diasaskan pada 1993 oleh Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar, yang berasal dari Indonesia.

JI terkenal kerana terlibat dalam beberapa serangan pengganas besar di rantau ini, termasuk pengeboman kelab malam Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 nyawa. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top