Presiden FAM perlu dapat ‘restu’ TMJ – Mohd Yusoff

Presiden FAM perlu dapat ‘restu’ TMJ – Mohd Yusoff

Presiden FAM perlu dapat ‘restu’ TMJ – Mohd Yusoff


MANA-MANA individu yang mahu menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seharusnya terdiri daripada kalangan mereka yang mendapat ‘restu’ serta kepercayaan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sekiranya baginda tidak mahu menerajui badan induk bola sepak itu.

Bekas Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, kriteria itu penting memandangkan baginda merupakan figura paling konsisten dan berpengaruh dalam bola sepak negara.

Menurut beliau, komitmen yang dizahirkan Tunku Mahkota Ismail terhadap sukan nombor satu negara itu tidak perlu dipersoalkan lagi kerana baginda kekal setia biarpun dalam apa jua keadaan ekonomi negara.

“Jika Tunku Mahkota Ismail tidak mahu memegang jawatan tersebut, maka Presiden FAM wajar dipilih dalam kalangan individu yang mendapat kepercayaan serta restu daripada baginda. Sejarah telah membuktikan FAM pernah diterajui oleh tokoh-tokoh seperti Tun Abdul Razak, Tan Sri Datuk Hamzah Abu Samah dan Tan Sri Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Namun hakikatnya, tanpa sokongan daripada figura yang mempunyai pengaruh besar dalam ekosistem bola sepak negara, perjalanan menuju kejayaan pasti akan menjadi lebih berliku.

“Itulah realiti bola sepak moden. Bukan sekadar tentang jawatan, tetapi tentang kekuatan, jaringan dan keupayaan untuk menggerakkan seluruh sistem ke hadapan. Fikir-fikirkanlah,” kata Mohd Yusoff.

Mengulas mengenai cabaran semasa, beliau berkata, kepimpinan FAM pada masa kini berdepan dengan tekanan yang jauh berbeza berbanding era terdahulu.

Jelas beliau, dalam era media sosial dan perkembangan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), kritikan serta tohmahan daripada netizen telah menjadi satu ‘norma baharu’ yang perlu dihadapi.

“Mana-mana individu yang terpilih sebagai Presiden FAM perlu mempunyai kekuatan mental yang tinggi, tidak mudah goyah, dan tidak ‘koyak’ apabila berdepan tekanan berterusan,” katanya.

Calon bagi merebut jawatan presiden FAM itu menjelang kongres yang dijangka diadakan selepas saingan Piala Dunia berakhir semakin hangat diperkatakan dengan beberapa nama telah dikaitkan dengan badan induk bola sepak itu.



Source link

OR

Scroll to Top