Ketiadaan Pearly tidak patahkan semangat skuad Piala Uber

Ketiadaan Pearly tidak patahkan semangat skuad Piala Uber

Ketiadaan Pearly tidak patahkan semangat skuad Piala Uber


Skuad Piala Thomas dan Piala Uber menjalani kem latihan di Herning, Denmark. Foto BAMTV

SKUAD Piala Uber negara yang kini menjalani kem latihan di Herning, Denmark terus memperkemas persiapan menjelang saingan Piala Uber 2026 di Horsens, dengan kapten pasukan, M Thinaah mengakui ketiadaan Pearly Tan memberi kesan terhadap emosi pasukan.

Thinaah berkata, kehilangan Pearly yang sepatutnya bersama dalam kem kali ini turut dirasai seluruh skuad, malah pemain itu sempat menghantar mesej memohon maaf kerana tidak dapat menyertai pasukan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan ini adalah kejohanan berpasukan dan fokus perlu diberikan kepada pemain lain yang ada, termasuk kelompok pemain muda yang kini berada dalam kem latihan.

“Ini adalah kejohanan berpasukan. Sudah tentu kami rasa kehilangan Pearly, tetapi kami perlu terus fokus.

“Kami mahu beri yang terbaik, tiada penyesalan di gelanggang dan menikmati setiap detik dalam perlawanan,” katanya.

Menurutnya, perkembangan beberapa hari pertama kem latihan menunjukkan petanda positif, khususnya dari segi semangat dan keserasian dalam kalangan pemain.

Saingan Piala Uber dan Piala Thomas dijadual berlangsung dari 24 hingga 3 Mei ini.

Dalam masa sama, Thinaah turut menyambut baik kehadiran Chong Jie Yu yang disifatkan membawa tenaga baharu serta meningkatkan motivasi skuad wanita negara.

Beliau menambah, fokus utama ketika ini adalah memperagakan aksi terbaik di dalam gelanggang, selain terus memperkukuh semangat berpasukan menjelang kejohanan berkenaan.

Bagi edisi kali ini, Jie Yu, 21, akan digandingkan dengan Thinaah bagi memastikan taktikal dan perjalanan skuad berjalan lancar.

Skuad wanita negara diundi dalam Kumpulan B Piala Uber bersama Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan.

Pencapaian terbaik negara di Piala Uber adalah melangkah ke suku akhir pada edisi 2010 di Kuala Lumpur sebelum tewas 0-3 kepada Indonesia. – BAMTV



Source link

OR

Scroll to Top