May 18, 2024

Projek sistem kawalan diesel bersubsidi diperluas kepada 14 kenderaan


ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan projek Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 Fasa Dua kepada 14 jenis kenderaan barangan mulai esok.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pertambahan dalam fasa dua ini menjadikan keseluruhan kenderaan barangan yang layak mendapatkan diesel bersubsidi di bawah SKDS 2.0 sebanyak 23 jenis.

“Kesemua kenderaan barangan tersebut boleh membuat permohonan melalui Sistem MySubsidi Diesel bermula 10 pagi esok (Isnin),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan KPDN Zon Utara di  Anak Bukit dekat sini hari ini.

Kenderaan barangan berkenaan adalah lori rigid (curtain sider), lori katering makanan, lori rigid (hasil pertanian), lori tangki rigid (minuman), lori rigid (kandang haiwan), semi (panel van) serta lori rigid (kombinasi).

Kategori seterusnya adalah bas perkhidmatan bergerak, lori rigid (open platform), van perkhidmatan bergerak, bas katering makanan, lori rigid (perkhidmatan bergerak), van katering makanan dan lori rigid (sampah).

Armizan berkata, pendaftaran bagi 14 jenis kenderaan barangan baharu itu boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.

Beliau berkata, antara kriteria permohonan yang perlu dipenuhi bagi memperoleh kemudahan itu termasuk syarikat hendaklah berdaftar perniagaan di Malaysia, kenderaan mempunyai cukai jalan yang sah serta berkuat kuasa, dan kenderaan yang layak di bawah sistem tersebut.

Menurutnya lagi setelah permohonan diluluskan di peringkat sistem MySubsidi Diesel KPDN, pihak syarikat diharap dapat segera mengemukakan permohonan Fleet Card di lima syarikat minyak ditetapkan iaitu Petronas, Shell, Petron, Caltex dan BHP.

“Bagaimanapun setiap syarikat hanya boleh memilih tiga syarikat minyak untuk mendapatkan Fleet Card tersebut,” katanya.

Dalam pelaksanaan SKDS 2.0 Fasa Satu, sembilan jenis kenderaan terlibat iaitu lori rigid (kargo am), penggerak utama, lori rigid (luton/kotak), lori rigid (tangki air), lori rigid (refrigerated), lori rigid (tangki tepung),  window vanpanel van dan lori rigid (minuman botol).

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkenaan perkara itu boleh hubungi Pusat Panggilan Sistem MySubsidi Diesel di talian 03-8882 6769 bermula 8 pagi sehingga 5 petang pada hari bekerja. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top