May 18, 2024

Prosedur graf kulit Faisal Halim tunjuk reaksi positif


KUALA LUMPUR – Prosedur graf kulit atau tampalan kulit untuk menutup luka lecur tahap empat dialami pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim yang cedera disimbah asid baru-baru ini menunjukkan reaksi positif.

Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar menyifatkan lapisan kulit yang dibawa dari luar negara untuk digunakan dalam prosedur bermula Khamis lepas itu dilihat sesuai.

“Setakat ini, saya lihat kondisi Faisal bertambah baik dengan proses ‘skin allograft’ juga boleh dikatakan berjaya tanpa sebarang masalah,” katanya yang melawat pemain berusia 26 tahun itu di hospital semalam,  ketika dihubungi hari ini.

Pada 5 Mei lepas, Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika berada di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya.

Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas itu dijangka tidak dapat beraksi selama lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Insiden itu merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain bolasepak negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, 2 Mei lepas.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baharu selepas itu apabila cermin kereta pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim dipecahkan oleh dua lelaki menaiki motosikal dengan menggunakan tukul besi di Johor Bahru, pada 7 Mei. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top