Pendakwah bebas, PU Riz menegur sikap segelintir individu yang gemar memperlekeh dan mengata fizikal orang lain atas alasan ‘sekadar gurauan’.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, suami kepada selebriti terkenal Noor Neelofa ini mengingatkan tentang setiap percakapan atau kata-kata yang keluar dari mulut bukan perkara kecil dan boleh membawa padah besar di sisi agama.
“Sedapkan cakap perihal orang, keji fizikal dia, perkecilkan dia hatta sampai mengutuk sahaja boleh berjam-jam. Akan ada yang berkata ‘rilekslah, ni gurau-gurau saja… chill’,” tulisnya.
Tambah PU Riz atau nama lengkapnya, Haris Ismail berkata ramai menjadikan alasan ‘bukan dia tahu pun kita cakap pasal dia’ sebagai lesen untuk terus mengata tanpa rasa bersalah.
“Kita topengkan percakapan ini dengan selimut gurau. Tapi kan, kalau dah Al-Quran larang dengan ulang-ulang kali tentang penjagaan mulut, ini bukan perintah mainan,” katanya.
PU Riz turut mengingatkan satu perkataan mampu menjadi sebab seseorang tergelincir ke neraka jika tidak berhati-hati.
“Semoga Allah memberi kesedaran. Dengan satu kalimat sahaja, seseorang boleh ke neraka. Ingatlah, diam itu lebih baik,” ujarnya.
Pesanan tersebut menerima pujian ramai yang menganggap ia peringatan lembut namun tepat pada masanya, terutama ketika budaya ‘mengata sambil ketawa’ semakin menjadi kebiasaan di media sosial.






