Ronaldo berang gol dibatalkan

Ronaldo berang gol dibatalkan


Reaksi kecewa Ronaldo selepas perlawanan tamat.

CRISTIANO Ronaldo dilihat agak berang selepas gol keduanya dibatalkan oleh pengadil ketika pasukannya, Al-Nassr menewaskan Al-Fateh 3-1 dalam aksi Liga Pro Saudi.

Pemain berusia 39 tahun itu berjaya meledak satu gol dalam kemenangan itu yang menjadi gol ke-20 buatnya musim ini selain turut berpeluang menambah jaringan gol.

Namun, gol keduanya yang dijaringkan pada masa kecederaan telah dinafikan kerana berada dalam keadaan ofsaid selepas pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Ulang tayang menunjukkan Ronaldo tidak ofsaid apabila menerima hantaran daripada rakan sepasukan sebelum dia mengelecek pemain pertahanan lawan dan meledak gol.

Ia sekali gus mengundang kemarahan pemain itu yang meluahkan perasaannya selepas perlawanan tamat ke arah kamera televisyen sebelum keluar dari padang.

Dalam keadaan emosi, dia menjerit: “Selalu tidak menyebelahi saya, sentiasa batalkan gol saya,” katanya.

Pengacara televisyen dan wartawan terkenal, Piers Morgan juga terkejut dengan keputusan pegawai ketika dia menonton di tempat duduk di Al Awwal Park.

Morgan menggunakan media sosial untuk berkongsi interaksinya dengan Ronaldo semasa dia mahu keluar daripada padang.

Selepas berpelukan dengan Ronaldo, Morgan berulang kali memberitahu bahawa gol pemain itu telah ‘dirompak’.

Ronaldo menjawab bahawa mereka tidak suka dia menjaringkan gol sebelum Morgan melabelkan keputusan itu sebagai tidak masuk akal.

Walaupun gol itu tidak dibenarkan, Ronaldo masih sukar dihentikan apabila mencatatkan 20 gol dalam 23 penampilan dalam semua pertandingan musim ini.

Dia juga kini telah meledak 920 gol dan misinya untuk meraih sasaran 1,000 gol mungkin bakal menjadi kenyataan.



Source link

OR

Scroll to Top