Ronnie sempat bercakap, lihat arwah ibu mengalir air mata

Ronnie sempat bercakap, lihat arwah ibu mengalir air mata



najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hasrat penyanyi Ronnie Hussein untuk bersama dan menatap wajah ibunya, Che Nah Jaafar, 65, sebelum menghembuskan nafas terakhir petang kelmarin tidak kesampaian.

Ronnie yang juga bekas vokalis Hyper Act berkata, ketika dimaklumkan ibunya sudah meninggal dunia dia ketika itu berada di Ipoh, Perak bagi memenuhi jemputan persembahan.

“Ketika bertolak ke Ipoh pada pagi Sabtu saya sudah tidak sedap hati, tapi saya berdoa agar Tuhan beri kesempatan untuk saya bertemu arwah sebelum dia ‘pergi’.

“Bagaimanapun ketika berada di Ipoh dan ibu masih bernyawa, isteri saya sempat menghubungi melalui panggilan video untuk saya melihat wajahnya.

“Dapat jugalah saya bercakap dengan mak sekejap dan melihat dia mengalirkan air mata.

“Kemudian ketika solat Asar saya dengar telefon saya berdering dan sudah dapat rasakan ibu sudah tiada,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ronnie, ibunya sudah menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor sejak Rabu lalu selepas mengadu sesak nafas sehingga terpaksa ditahan wad.

“Doktor maklumkan mak meninggal dunia akibat kegagalan organ tapi ketika mak hubungi saya untuk dibawa ke hospital dikhabarkan dia mengalami sesak nafas.

“Tiba di hospital kami ingatkan dia tak kena tahan wad, tapi pihak hospital maklumkan ada masalah pada jantungnya dan perlu menunggu pakar jantung.

“Kemudian pada hari Khamis keadaannya sudah beransur baik. Saya belikan dia buah anggur dan nasi goreng, sehinggalah pada hari Jumaat malam kesihatannya tiba-tiba merosot dan meninggal dunia pada jam 4.37 petang Sabtu,” katanya.

Dalam masa sama, Ronnie bersyukur apabila dapat mengiringi perjalanan terakhir arwah ibunya yang selamat dikebumikan semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top