RoS tolak pendaftaran parti Urimai

RoS tolak pendaftaran parti Urimai


KUALA LUMPUR – Pendaftaran Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) ditolak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) setelah lapan bulan memohon.

Bagaimanapun, pengerusi interimnya, P Ramasamy menjelaskan beliau sudah menjangkakan keputusan itu malah ia tidak mengejutkan bagi mereka.

“Dalam sejarah Malaysia, pendaftaran parti politik terpaksa melalui satu jangka masa yang Panjang.

“Parti-parti seperti PSM dan Mufa telah mendapatkan pendaftaran mereka setelah bawa isu pendaftaran ke mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Ramasamy lagi, Urimai telah menghantar permohonan secara rasmi kepada RoS sejak 3 November tahun lalu.

Ramasamy turut berkata  pendaftaran parti itu telah dinafikan oleh Kerajaan Perpaduan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selalu mencanangkan laungan ‘reformasi’.

Beliau berkata sebelum ini, peguamnya telah menerima sepucuk surat dari pihak RoS yang memaklumkan permohonan Urimai masih dalam proses semakan dan penelitian.

“Selang beberapa hari sahaja, kami menerima pemakluman penolakan permohonan ini.

“Keputusan ini dikeluarkan semasa berjalannya kempen PRK di Sungai Bakap,” katanya lagi.

Oleh yang demikian, Ramasamy berkata, beliau akan mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dalam masa 30 hari ini.

Bekas pemimpin DAP itu turut berkata, apa yang mengecewakannya adalah pimpinan Pakatan Harapan (PH) menafikan pendaftaran parti politik baru, yang merupakan perkara asas dalam demokrasi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top