July 27, 2024

Sarawak teruskan tuntutan penambahan kerusi Parlimen

Sarawak teruskan tuntutan penambahan kerusi Parlimen



am@hmetro.com.my

Kuching: Kerajaan Sarawak terus memperjuangkan agenda untuk menuntut penambahan sekurang-kurangnya 35 peratus kerusi bagi wakil Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ia bagi memastikan perwakilan yang seimbang di Parlimen selaras dengan semangat dan tujuan asal penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

Beliau berkata, berikutan pertukaran Kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak meneruskan tuntutan itu mengikut Perjanjian Majlis Tindakan Pelaksanaan Malaysia 1963 (MTPMA63) yang baru ditubuhkan dan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kertas cadangan untuk menambah bilangan kerusi wakil rakyat Sarawak di Parlimen dibentangkan kepada Jawatankuasa Rakan Sekutu (JKRS) pada 23 Ogos 2022 yang dipengerusikan Menteri Undang-undang ketika itu (Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar).

“Berikutan pertukaran Kerajaan Persekutuan (November 2022), kerajaan Sarawak terus menuntut perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Dennis Ngau (GPS- Telang Usan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini, mengenai status cadangan Sarawak untuk meningkatkan wakil Borneo di dalam Parlimen Malaysia.

Mengulas lanjut, Sharifah Hasidah berkata, mesyuarat pertama MTPMA63 diadakan pada 20 Januari 2023.

“Dalam mesyuarat itu, diputuskan bahawa perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam jawatankuasa kerja yang diketuai oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri.

“Sehingga kini jawatankuasa kerja sudah mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali dan pendirian kita (tuntutan penambahan kawasan Parlimen) akan dibentangkan dan dibincangkan sekali lagi.

“Keputusan mesyuarat kemudiannya akan dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal akan datang yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top