Kejayaan Selangor menamatkan penantian sedekad untuk kembali bergelar juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) diraikan dengan pengisytiharan 1 September 2026 sebagai cuti peristiwa khas di negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Penutupan SUKMA Selangor 2026 di Aneka Walk, Seksyen 14, Shah Alam, malam tadi.
Pengisytiharan berkenaan dibuat selepas kontinjen Merah Kuning mempamerkan penguasaan cemerlang sepanjang temasya dengan mengumpul 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, sekali gus muncul juara keseluruhan dengan 245 pingat.
“Selaku Menteri Besar Selangor, saya tumpang gembira atas prestasi yang sungguh hebat ini.
“Sebagai tanda penghargaan kepada setiap atlet, pegawai, sukarelawan, ibu bapa yang membantu sepanjang temasya ini, saya berbesar hati mengumumkan kerajaan negeri Selangor mengisytiharkan cuti peristiwa khas SUKMA 2026 pada 1 September 2026, iaitu pada hari Selasa depan,” katanya.
Majlis penutupan berkenaan turut dihadiri Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kejayaan itu lebih manis apabila Selangor bukan sahaja melepasi sasaran awal 80 pingat emas, malah meninggalkan pencabar terdekat, Wilayah Persekutuan yang meraih 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa, manakala Terengganu menduduki tempat ketiga dengan 43 emas, 44 perak dan 36 gangsa.
Antara penyumbang utama kejayaan tuan rumah ialah sukan renang yang menghadiahkan 20 emas, tujuh perak dan 11 gangsa, selain gimnastik artistik, muay thai dan silambam yang masing-masing menyumbang lima emas.
Kejayaan kali ini turut menamatkan penantian selama 10 tahun Selangor untuk kembali berada di puncak SUKMA selepas kali terakhir muncul juara keseluruhan pada edisi Sarawak 2016.
Dalam ucapannya, Amirudin turut melihat SUKMA bukan semata-mata medan memburu pingat, sebaliknya menjadi pentas penting dalam pembangunan atlet dan menyediakan bakat muda untuk membawa cabaran negara ke peringkat lebih tinggi.
“SUKMA adalah pentas untuk kita melahirkan atlet yang mampu mewakili negara di pentas antarabangsa seperti Sukan Olimpik, Sukan SEA, Sukan Asia, dan Paralimpik.
“Selaku tuan rumah, Selangor bersyukur atas kerjasama setiap kontinjen yang telah menjadikan negeri ini seperti rumah anda selama dua minggu yang telah berlalu,” katanya.
Amirudin turut meniup semangat atlet Selangor supaya tidak berhenti setakat kejayaan pada temasya kali ini, sebaliknya terus meningkatkan kemampuan bagi mengejar peluang mewakili negara pada masa depan.
“Teruskan perjuangan anda, kukuhkanlah usaha untuk mencapai impian anda.
“Saya mewakili negeri ini dan anda mempunyai peluang mewakili tanah air Malaysia yang kita cintai kerana anda semua merupakan harapan pada masa depan,” ujar beliau.
