Usahawan sensasi, Haliza Maysuri sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila mendedahkan dirinya kini membuat persiapan akhirat dengan menempah kain kafan premium, susulan kecaman yang diterimanya kerana kerap tampil dengan busana berjenama bernilai ratusan ribu ringgit.
Menerusi hantaran di platform Threads, Haliza secara terbuka menjawab sindiran segelintir pihak yang sering mengingatkannya tentang pakaian mewah tidak dibawa mati.
“Selalu saya tempah busana dunia harga ratusan ribu, selalu dikecam. Kata orang, mati nanti pakai kain kapan je. Hari ini, saya tempah pakaian alam kubur,” katanya.
Haliza turut memaklumkan kain kafan tersebut adalah hasil sentuhan pereka terkenal, Rizalman Ibrahim, sekali gus menegaskan persiapan untuk akhirat juga perlu diberi perhatian sebaiknya.
“Pakaian dunia saya berjenama. Akhirat pun kenalah yang terbaik dan berjenama. Barulah seimbang dunia dan akhirat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Haliza turut menegur sikap segelintir individu yang gemar menghakimi kehidupan orang lain tanpa melihat ke dalam diri sendiri.
“Yang sibuk mengira dosa orang, dah tempah ke kain kapan untuk bawa mati?” katanya lagi.






