DUA anugerah utama bakal menjadi tumpuan pada majlis penuh gemilang Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2024 yang dijadual berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor petang ini.
Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2024 yang menjadi kemuncak acara menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan atlet yang telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa sepanjang tahun lalu.
Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap berkata, pemilihan calon bukan sahaja mengambil kira pencapaian di kejohanan besar tetapi juga nilai perjuangan serta konsistensi yang ditampilkan atlet, termasuklah atlet muda.
“Anugerah ini membuktikan media sukan sentiasa berdiri di belakang para atlet, menyokong dan meraikan pengorbanan mereka. Setiap pencapaian pasti ada ganjaran dan SAM akan terus menghargai jasa mereka yang mengangkat nama Malaysia,” katanya.
Bagi kategori Atlet Terbaik, senarai akhir menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan gandingan tiga atlet wanita dan tiga atlet lelaki, masing-masing daripada pelbagai disiplin sukan.
Tiga ratu sukan negara iaitu Sin Li Jane (tenpin boling), Nur Farah Ain Abdullah (boling padang) dan Tan Cheong Min (wushu) menjadi taruhan utama untuk merangkul anugerah berprestij tersebut.
Sementara itu, pelari menara kebangsaan, Soh Wai Chin serta gandingan beregu badminton lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut tidak boleh diketepikan berikutan pencapaian konsisten di kejohanan peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, kategori Atlet Para Terbaik 2024 menyaksikan pertarungan sengit antara dua ikon sukan para negara, Cheah Liek Hou (badminton para) dan Bonnie Bunyau Gustin (angkat berat para) yang masing-masing memburu gelaran ketiga sejak anugerah itu diperkenalkan pada edisi 2017.
Turut mengintai peluang ialah tiga jaguh para olahraga negara, Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru), Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh) dan Eddy Bernard (lari pecut) yang turut mempunyai rekod cemerlang dalam penampilan mereka sepanjang tahun lalu.
“Kriteria pemilihan sangat ketat dan teliti. Kita bukan sahaja melihat pencapaian elit tetapi juga memberi ruang kepada atlet muda. Ini penting untuk memberi motivasi kepada generasi baharu,” kata Norismadi.
Pemenang bagi kedua-dua kategori utama ini masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 berserta trofi eksklusif sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan dan sumbangan mereka.
Dalam majlis yang sama, SAM turut menyampaikan penghargaan khas kepada beberapa individu dan organisasi yang telah memberi impak besar dalam pembangunan industri sukan tanah air.
Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) diumumkan penerima Anugerah Khas SAM atas sumbangan luar biasa mereka dalam meletakkan bola sepak Malaysia di pentas serantau, manakala Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pula menerima pengiktirafan sebagai Persatuan Sukan Dinamik hasil pencapaian menyeluruh dalam aspek pembangunan, pengurusan dan prestasi.
Tokoh Kepimpinan Sukan pula dianugerahkan kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin atas sumbangan besarnya dalam pembangunan bola sepak dari akar umbi hingga ke peringkat antarabangsa.
Turut mencuri tumpuan ialah perenang muda negara, Muhd Dhuha Zulfikry yang memadamkan rekod kebangsaan acara 1,500 meter (m) gaya bebas milik Jeffrey Ong yang telah bertahan selama 35 tahun.
Kejayaannya yang turut merangkul enam pingat emas dan mencipta lima rekod kejohanan baharu pada temasya SUKMA 2024 di Sarawak melayakkannya dipilih sebagai penerima Anugerah Atlet Muda Terbaik.
Selain dua anugerah utama, majlis turut menampilkan Anugerah Siebel untuk karya kewartawanan sukan terbaik keseluruhan, serta beberapa kategori lain merangkumi Laporan Berita Terbaik (Media Cetak dan Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak dan Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka), dan Fotografi Sukan Terbaik.
Hadiah wang tunai bagi Anugerah Pengulas Sukan Popular turut dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM3,000 sebagai dorongan kepada bakat dalam bidang ulasan sukan tempatan.
Anugerah SAM 2024 dijangka dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.