July 23, 2024

Sokongan padu seluruh negara buat Selangor FC terharu

Sokongan padu seluruh negara buat Selangor FC terharu



mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selangor FC menerima sokongan padu daripada setiap lapisan masyarakat di seluruh negara susulan hukuman akibat ketidakhadiran pasukan itu ke Perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, pada 10 Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih di atas sokongan padu semua pihak dalam usaha pasukan terbabit mengharungi cabaran dan dugaan yang melanda skuad Gergasi Merah.

“Jujur saya katakan agak terkejut dan terharu sokongan padu dari seluruh negara di platform media sosial. Situasi terbabit sekali gus memberi gambaran jelas bahawa semua pihak bersatu padu dan berdiri teguh bersama kelab ketika ini.

“Pemain, pengurusan dan barisan kejurulatihan berterima kasih dan lebih bersemangat menerusi solidariti serta sokongan diterima daripada penyokong bola sepak seluruh negara,” katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan bahawa kantung Selangor FC semakin menipis pada musim ini apabila perlu ‘membayar’ harga mahal kerana tidak hadir pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ini kerana, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenakan empat bentuk hukuman terhadap Selangor FC membabitkan denda RM100,000 dan perlu membayar segala ganti rugi susulan pembatalan Piala Sumbangsih selain ditolak tiga mata.

Selain itu, perlawanan Liga Super (LS14) membabitkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dimainkan tanpa penonton.

Namun, pada Khamis lalu, Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat pusingan ‘U’ apabila mengurangkan hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC.

Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan untuk mengurangkan denda kepada The Red Giants daripada RM100,000 kepada RM60,000, pemotongan tiga mata dibatalkan dan perlawanan Liga Super (LS14) juga dibenarkan kemasukan penyokong.

Begitupun, bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top