Subsidi Minyak Dulu RM700 Juta, Kini RM5 Bilion Sebulan — Kerajaan Kekal Komited Bantu Rakyat

Subsidi Minyak Dulu RM700 Juta, Kini RM5 Bilion Sebulan — Kerajaan Kekal Komited Bantu Rakyat


Kerajaan kini menanggung subsidi bahan api sekitar RM5 bilion sebulan dengan jumlah itu berpotensi meningkat melebihi RM6 bilion sekiranya harga minyak global terus melonjak.

Angka itu jauh melonjak berbanding sekitar RM700 juta sebulan pada awal tahun, sekali gus menggambarkan peningkatan ketara komitmen kerajaan dalam memastikan harga bahan api kekal rendah untuk rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beban subsidi yang ditanggung ketika ini memberi tekanan besar kepada kedudukan kewangan negara.

“Kalau harga (subsidi ditampung kerajaan) setakat sekarang, RM5 bilion sebulan, bayangkan 10 bulan RM50 bilion daripada dana kerajaan.

“Penjawat awam harus tahu ya. Kadang-kadang ada yang tidak tahu, di bawah, di luar lain, ada yang tanya kenapa kos naik, kenapa harga minyak tak turun? RM1.99 patutnya turun lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di Putrajaya, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, dengan harga RON95 bersubsidi sekitar RM1.99 seliter, Malaysia kekal antara negara yang menawarkan harga bahan api paling rendah di dunia.

Namun, beliau mengakui kemampuan kerajaan untuk menampung subsidi pada kadar semasa tidak boleh berterusan dalam jangka panjang tanpa penyesuaian dasar.

“Pada mulanya kita fikir mampu tampung, tetapi untuk tempoh panjang, dana sedia ada tidak mampu menampung berbulan-bulan,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan melaksanakan pendekatan subsidi bersasar termasuk penyelarasan diesel bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Dalam masa sama, Anwar berkata Malaysia kekal berada pada kedudukan kukuh dari segi bekalan minyak dan gas hasil hubungan baik dengan negara pengeluar seperti Rusia, Turkmenistan dan Iran, sekali gus memastikan kestabilan bekalan berbanding negara lain di rantau ASEAN.






Source link

OR

Scroll to Top