Tangguh perlawanan: MFL perlu lebih prihatin, konsisten dan praktikal

Tangguh perlawanan: MFL perlu lebih prihatin, konsisten dan praktikal


IPOH: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu lebih prihatin, konsisten dan praktikal dengan mengambil kira serta menjaga kepentingan semua pemegang taruh, khususnya para penyokong sebelum membuat sebarang keputusan.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang mengulas penangguhan kali kedua perlawanan Liga Super di antara Perak FC dan Johor Darul Ta zim (JDT) di sini semalam berikutan keadaan padang yang tidak sesuai disebabkan hujan mengingatkan MFL penyokong adalah nadi kepada sukan itu.

“Perak FC prihatin dan berkongsi kekecewaan yang diluahkan penyokong serta komuniti bola sepak atas penangguhan perlawanan Liga Super antara Perak FC dan JDT oleh MFL semalam  yang didakwa disebabkan cuaca buruk dan keadaan padang yang tidak sesuai untuk penganjuran perlawanan, ” katanya.

Menurutnya, Perak FC juga kecewa kerana tiada perancangan rapi dan notis awal dari pihak MFL berhubung perkara ini.

Beliau berkata, lebih 10,000 penyokong tuan rumah dan pelawat hadir dengan perbelanjaan sendiri untuk menyaksikan perlawanan yang sangat dinanti-nantikan ini dan sehingga pukul 6 petang pemeriksaan menunjukkan perlawanan tidak akan dibatalkan.

“Lebih mengecewakan Perak FC tidak diberi peluang dan ruang untuk berbincang atau memberikan pandangan sepanjang proses membuat keputusan ini.

“Pihak kami ingin menekankan kurangnya pertimbangan terhadap para penyokong kedua-dua pasukan yang hadir ke stadium adalah isu utama dalam hal ini.

“Kami berharap MFL mengambil pendekatan lebih menyeluruh dan lebih terancang pada masa hadapan bagi mengelakkan keadaan seperti ini berulang lagi,” katanya.

Menurutnya, Perak FC sebagai sebahagian daripada pemegang taruh Liga Malaysia (Liga-M) sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk penilaian kesesuaian venue perlawanan.

“Stadium Perak telah dinilai dan diluluskan penggunaannya sebelum musim Liga-M 2024/25 bermula serta sebelum perlawanan yang dijadualkan semalam,” katanya.

Perak FC akan beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bagi baki musim 2024/2025 kerana kerja-kerja naik taraf padang Stadium Perak. – UTUSAN

 





Source link

OR

Scroll to Top