‘Tanya polis, FIFA’ – AFC jelaskan tidak lagi terlibat kemelut tujuh pemain warisan

‘Tanya polis, FIFA’ – AFC jelaskan tidak lagi terlibat kemelut tujuh pemain warisan


Windsor (kanan) menjelaskan, keputusan di peringkat AFC sudah dibuat dan ia telah selesai. Foto: Bernama

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) menegaskan badan induk itu tidak lagi terlibat dalam kemelut membabitkan isu tujuh pemain ‘warisan’ Harimau Malaya sebaliknya meminta mana-mana pihak merujuk perkara itu kepada polis dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, tindakan susulan berhubung kes berkenaan kini di luar bidang kuasa pihaknya memandangkan keputusan di peringkat konfederasi itu sudah pun dimuktamadkan.

“Kes tujuh pemain warisan berkaitan dengan FIFA. Kami tidak terlibat. Kami telah membuat keputusan di peringkat AFC dan ia telah selesai.

“Berkenaan laporan polis, tanya polis. Bagi kes di FIFA pula, tanya FIFA,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan isu berkenaan.

Isu tujuh pemain ‘warisan’ masih menjadi polemik susulan ramai yang masih terus menantikan perkembangan lanjut hasil siasatan mencari dalang sebenar selain ada cadangan agar kewarganegaraan pemain tersebut ditarik balik.

FIFA pada September tahun lalu mendapati wujud unsur pengubahsuaian atau pemalsuan dokumen berkaitan kelayakan tujuh pemain ‘warisan’ negara.

Susulan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.7 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM9,800) berserta penggantungan selama 12 bulan.

Walaupun FAM telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Oktober, mahkamah menolak rayuan tersebut pada Mac lalu dan mengekalkan hukuman FIFA.

Biarpun digantung, pemain terbabit masih dibenarkan menjalani latihan dan kekal bersama kelab masing-masing, namun mereka dilarang daripada beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi sepanjang tempoh penggantungan.

AFC juga telah menjatuhkan hukuman kepada FAM dan Harimau Malaya kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 dengan membatalkan kemenangan tersebut.

Mesti Baca



Source link

OR

Scroll to Top