Hamidin (tengah) bersama Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John (kanan) bercakap pada sesi Sidang Akhbar selepas Majlis Kongres Luar Biasa FAM 2026. Foto: Bernama
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui berlaku kekhilafan berhubung isu kegagalan badan induk itu membentangkan bajet dalam kongres tahunan badan induk itu sejak tahun 2016.
Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin menjelaskan perancangan bajet tersebut sebenarnya sentiasa dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat jawatankuasa kewangan serta jawatankuasa eksekutif FAM.
“Mungkin ada kekhilafan dekat situ tentang tidak meletakkannya dalam agenda kongres. Tetapi dalam mesyuarat kewangan dan exco perkara ini dibincangkan, cuma ia tidak masuk dalam kongres tahunan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Kongres Luar Biasa FAM pada Khamis.
Dalam kongres tersebut, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mendedahkan FAM tidak membentangkan bajet badan induk itu dalam kongres tahunan sejak 10 tahun lalu.
Mengulas lanjut mengenai langkah penyelesaian, Hamidin memberi jaminan bahawa kelemahan itu akan diatasi dengan memastikan bajet tahunan dibentangkan secara konsisten pada masa akan datang bagi memastikan ketelusan tadbir urus persatuan.
“Perkara ini akan dijalankan dalam kongres tahun-tahun akan datang,” ujarnya.
Terdahulu, laporan audit yang dibentangkan oleh AFC mendedahkan beberapa kelonggaran dalam aspek tadbir urus dan pentadbiran FAM sekali gus menyaksikan badan induk bola sepak negara itu diberikan skor rendah dan memerlukan perubahan segera.
Laporan penilaian itu dilakukan oleh AFC susulan permintaan oleh FAM untuk memperbaiki urus tadbir selepas peletakkan jawatan semua Exco pada Januari lalu kerana isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan.





