Barisan pemain Terengganu ketika menewaskan Shan United di Stadium Bolasepak Thuwunna pada 8 Januari lalu. Foto Terengganu FC
TERENGGANU FC (TFC) telah melupakan episod kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia Jumaat lalu menjelang kunjungan PSM Makassar bagi saingan Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Sebaliknya, pengendali skuad Penyu Badrul Afzan Razali berkata, pasukan pantai timur yang berpengkalan di Kuala Nerus sedang giat membuat persiapan rapi untuk berdepan kelab Indonesia bagi meraih keputusan positif di Gong Badak pada Rabu.
Pengendali berusia 48 tahun itu berkata, anak buahnya telah bangkit daripada kekecewaan dan bersedia sepenuhnya untuk menyempurnakan misi wajib menang di laman sendiri.
“Alhamdulillah, pemain cukup positif dan sedia bangkit dalam perlawanan seterusnya. PSM Makassar adalah antara pasukan terbaik di liga Indonesia ketika ini. Kita tidak boleh sesekali ambil mudah dalam membuat persiapan.
“Kita juga tidak boleh tewas dalam baki perlawanan peringkat kumpulan jika mahu layak ke peringkat seterusnya,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook rasmi TFC pada Isnin.

Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN
Terengganu sebelum ini membawa pulang tiga mata dari bumi Yangon selepas membelasah kelab Myanmar, Shan United, 5-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Thuwunna pada 8 Januari lalu.
Skuad Penyu kendalian Badrul Afzan Razali ketika tampil ke laman lawan tanpa khidmat tiga penyerang import, Nelson Bonilla, Ivan Mamut dan Ismaheel Akinade.