“Terima Kasih Banyak Berkorban” – Azizulhasni Awang Titip Ucapan Menyentuh Jiwa Buat Isteri Tercinta

“Terima Kasih Banyak Berkorban” – Azizulhasni Awang Titip Ucapan Menyentuh Jiwa Buat Isteri Tercinta


Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, mencuri perhatian ramai apabila meluahkan penghargaan penuh emosi buat isteri tercinta, Datin Athiah Ilyana, yang disifatkan sebagai tulang belakang kejayaannya hari ini.

Menerusi video temu bual bersama radio Hot FM, Azizulhasni, 38, tidak menafikan segala pencapaiannya turut didorong oleh pengorbanan besar isterinya yang sentiasa setia di sisi, tanpa mengira waktu senang atau getir.

Lebih menyentuh hati, Athiah yang merupakan graduan seni bina di Melbourne sanggup melupakan kerjaya sebagai arkitek demi memberi sepenuh komitmen menyokong perjalanan suaminya serta membesarkan anak-anak mereka.

“Terima kasih sebab banyak berkorban. Dari sebelum kami ada anak, sampailah sekarang dengan empat orang cahaya mata, dia tetap ada untuk saya,” katanya.

Ucapan ikhlas itu meruntun jiwa apabila Athiah dilihat tidak mampu menahan sebak, malah air mata mengalir saat mendengar kata-kata suaminya.

Dalam pada itu, atlet yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ itu turut mengakui, isterinya menjadi sumber kekuatan utama ketika dia berdepan saat paling mencabar dalam karier.

“Yang paling saya hargai adalah susah senang yang kami lalui bersama, yang mungkin orang luar tak nampak. Ada masa saya kalah, dikecam dan dikritik, tapi dia tetap ada di sisi.

“Terima kasih sayang. Semoga Allah merahmati hidup awak dan mengurniakan syurga buat awak, insya-Allah,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Azizulhasni sekali lagi membanggakan negara apabila meraih pingat emas acara Keirin di UCI Track Cycling World Cup yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai, baru-baru ini.



Source link

OR

Scroll to Top