Tiket penerbangan pulang Gawai mahal, cadang harga termasuk bagasi – Francisca Luhong

Tiket penerbangan pulang Gawai mahal, cadang harga termasuk bagasi – Francisca Luhong


PETALING JAYA: Perjalanan pulang ke kampung halaman sempena Hari Gawai disifatkan membebankan apabila peragawati dan bekas Miss Universe Malaysia, Francisca Luhong meluahkan peningkatan harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi ditambah dengan kos bagasi yang perlu ditanggung oleh penumpang sendiri.

Francisca atau Fransisca Luhong James, 31, berkata, dia sendiri telah membelanjakan ribuan ringgit untuk tiket penerbangan yang dibeli lebih awal, namun masih perlu menambah kos lain termasuk bagasi berdaftar.

“Walaupun saya sudah habiskan lebih kurang RM1,300 untuk tiket penerbangan yang saya tempah lebih seminggu awal. Kita balik untuk Gawai atau Kaamatan, bukan sekadar bawa beg 7kg sahaja.

“Sudah tentu kita perlu tambah untuk bagasi dan bawa barang untuk keluarga serta keperluan sendiri untuk keramaian. Kalau boleh, harga tiket biarlah lebih berpatutan sekitar RM850 ke atas termasuk bagasi,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

Tambah Francisca, terdapat segelintir individu yang bekerja atau menuntut di luar kawasan terpaksa membatalkan hasrat untuk pulang menyambut perayaan kerana harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi.

“Kesian kepada pelajar dan mereka yang bekerja jauh mencari rezeki untuk keluarga. Akhirnya ada yang terpaksa berkorban dan tidak dapat pulang menyambut perayaan bersama keluarga sendiri.

“Padahal kita ini sama-sama dalam Malaysia. Sebab itu orang di semenanjung ini lebih rela pergi ke Phuket atau Bali sebab tiket berlambak kurang dari RM600. Kebanyakan yang saya tanya kenapa tidak melawat Borneo, mereka mengatakan tiket agak mahal ke sana,” katanya.

Untuk rekod, Fransisca merupakan seorang model dan ratu cantik Malaysia yang telah dinobatkan sebagai pemenang Miss Universe Malaysia 2020.



Source link

OR

Scroll to Top