Malaysia melakar sejarah baharu dalam pengukuhan keupayaan pertahanan maritim apabila Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilancarkan secara rasmi dalam satu upacara penamaan dan pelancaran di limbungan kapal, di sini hari ini.
Upacara bersejarah itu disempurnakan oleh Raja Zarith Sofiah, dengan keberangkatan sama Sultan Ibrahim serta kerabat diraja Johor yang lain.
Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, delegasi pertahanan Turkiye serta pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

Kapal pertama LMSB2 itu dinamakan “Tunku Laksamana Abdul Jalil”, sebelum disempurnakan pelancarannya menerusi simbolik pelepasan kendi berisi air zam zam yang dibacakan surah Yasin ke bahagian haluan kapal, mengikut tradisi penamaan aset Tentera Laut yang telah diamalkan sejak era Royal Navy.

Penamaan kapal tersebut membawa makna mendalam apabila ia diangkat bagi memperingati Almarhum Tunku Abdul Jalil, tokoh diraja Johor yang dikenali dengan semangat juang serta legasi kebajikan menerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.
Dalam titah baginda, Raja Zarith Sofiah menzahirkan penghargaan terhadap pemilihan nama kapal berkenaan yang disifatkan amat bermakna kepada keluarga diraja Johor.
“Ia adalah satu penghormatan yang amat kami hargai,” titah baginda.
Kapal Kelas Tunku itu dibangunkan berasaskan reka bentuk korvet kelas-Ada oleh syarikat pertahanan Turkiye, Savunma Teknolojileri Mühendislik (STM), dengan keupayaan operasi pelbagai dimensi serta panjang keseluruhan hampir 100 meter.
Artikel lain: Isu bekalan NSM bagi LCS TLDM: Malaysia buka saluran diplomatik dengan Norway
Menurut TLDM, kapal berkenaan kini akan melalui fasa setting to work (STW) dan integrasi sistem peperangan serta sensor sebelum ditauliahkan sepenuhnya dalam perkhidmatan.



Pelancaran itu turut menandakan pengukuhan kerjasama strategik pertahanan antara Malaysia dan Turkiye, selain memperkukuh kesiapsiagaan TLDM dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim serantau yang semakin kompleks.
Sumber: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Khaled Nordin







