am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengeluarkan kompaun terhadap penganjur acara hiburan di bandaraya ini kerana didapati tidak mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.
Datuk Bandar MBKT, Lizan Che Mat berkata, tindakan tersebut diambil selepas pihaknya menjalankan semakan terhadap program berkenaan susulan penularan rakaman video memaparkan gelagat peserta yang mengundang kecaman masyarakat.
Menurutnya, hasil penelitian mendapati terdapat pelanggaran terhadap syarat lesen hiburan yang diberikan kepada penganjur.
“Kita sudah mengeluarkan kompaun terhadap penganjur kerana berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat lesen.
“Kelulusan lesen hiburan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 mempunyai syarat tertentu yang wajib dipatuhi oleh penganjur,” katanya.
Beliau berkata, pelanggaran terhadap syarat tersebut merupakan satu kesalahan mengikut subseksyen 11(2) enakmen sama.
Katanya, individu atau pihak yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Lizan berkata, MBKT tidak memandang ringan isu berkaitan pematuhan syarat penganjuran khususnya program hiburan yang boleh menjejaskan sensitiviti dan ketenteraman awam.
Tambahnya, setiap permit atau lesen yang diluluskan bukan bermaksud penganjur bebas menjalankan acara tanpa kawalan.
“Oleh itu, penganjur perlu memastikan program berlangsung mengikut garis panduan yang ditetapkan mengikut syarat yang diberikan.
“Sekiranya syarat yang diberikan gagal dipatuhi, tindakan undang-undang boleh dikenakan,” katanya.
Menurutnya, MBKT tidak menghalang sebarang program yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat serta menjana ekonomi tempatan, namun semua pihak perlu mematuhi peraturan sedia ada.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video yang memaparkan persembahan seorang penyanyi undangan yang didakwa berlebihan sehingga mencetuskan kecaman ramai.
© New Straits Times Press (M) Bhd






