kartika@mediaprima.com.my
N’MIRA Beauty Medispa yang sudah beroperasi selama empat tahun dalam industri kecantikan kini mengorak langkah apabila berjaya menaik taraf statusnya menjadi klinik estetik dan kecantikan, N’Mira Clinic.
Pengasasnya, Nyak Amira Natasha Nyak Zurimin berkata, transformasi N’Mira Clinic daripada perkhidmatan berasaskan medispa kepada klinik estetik bukan sesuatu mudah.
Katanya, namun cabaran itu dapat diatasi melalui sokongan kakitangan dan pelanggan yang mempercayai perkhidmatan ditawarkan.
“Sebagai permulaan, kami memfokus cawangan N’Mira Clinic di Puchong dan dalam tempoh dua tahun kami merancang untuk membuka cawangan di Johor Bahru.
“Kami tidak mahu terburu-buru membuka cawangan baharu walaupun ada permintaan kerana kami komited memberi pelanggan servis terbaik pada harga mampu milik.
“N’Mira Clinic juga melantik Dr Fadhzillah Azhraf sebagai Pengarah Eksekutif yang mana beliau seorang bertauliah dalam bidang perubatan estetik bagi menjalankan prosedur rawatan kecantikan,” katanya.
Menurutnya, objektif utama klinik terbabit adalah untuk memberi kepuasan yang menyeluruh dan bertepatan dengan perkhidmatan yang dimahukan pelanggan.
Beliau berkata, harga yang ditawarkan kliniknya bukan sahaja murah berbanding klinik lain, malah berpatutan dengan perkhidmatan diberikan.
“N’Mira Clinic berusaha mencipta persekitaran di mana setiap orang merasa selesa dan membuang tanggapan stigma masyarakat mengenai klinik estetik yang mahal.
“Kami sentiasa berusaha meningkatkan keyakinan orang ramai dengan kelengkapan rawatan dari segi perubatan dan rawatan, doktor estetika yang pakar serta peralatan dan teknik optimum untuk kecantikan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd