TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Demikian pepatah sesuai buat pelari negara, G Sivaneshwaran yang buat kali pertama menyertai acara maraton penuh, namun tidak menyangka percubaan kali pertama itu membuatkan hasil berbaloi apabila muncul sebagai juara.
Pelari berusia 27 tahun itu mengungguli acara 42 kilometer (km) Score Marathon by AIA Vitality 2025 di Putrajaya pada Ahad.
Malah lebih menarik, juruteknik di sektor swasta itu bukan sahaja melepasi sasaran peribadi untuk melakukan catatan masa bawah tiga jam, malah turut menjadi pelari terpantas menerusi catatan 2 jam 48 minit 08 saat (s).
Walaupun hanya beraksi dalam kategori terbuka tempatan, namun catatan masa Sivaneshwaran adalah yang terpantas bagi acara full maraton, mengatasi pelari-pelari luar negara bagi kategori terbuka antarabangsa.
Beliau yang mesra disapa dengan panggilan Siva berkata, penyertaannya dalam acara itu hanyalah untuk mencatat masa bawah tiga jam dan langsung tidak meletakkan sasaran untuk menjadi juara.
Siva (empat dari kiri) menerima hadiah selaku pemenang acara full maraton daripada Patricia selepas tamat perlumbaan. Foto Score Marathon.
“Ini adalah kali pertama saya menyertai maraton penuh kerana mahu melayakkan diri ke Vietnam Disember nanti.
“Saya fikir tidak dapat habiskan perlumbaan, tetapi berjaya melintasi garisan penamat dan menjadi juara. Ia adalah bonus,” katanya.
Naib juara menjadi milik Lim Kok Leong menerusi catatan 2:51:00s, manakala dengan masa 2:52:28s meletakkan Muhammad Naqib Haikal sebagai pemenang ketiga.
Siva memberitahu, persediaan selama hampir empat bulan melibatkan larian jarak jauh, latihan di gim dan pelbagai jenis senaman membuahkan hasil.
“Selalunya saya menyertai acara 10km dan separuh maraton (21km). Kalau acara 10km atau separuh maraton, ia bergantung pada kelajuan.
“Namun untuk maraton penuh, ia lebih kepada rentak yang perlahan, tetapi konsisten untuk jarak yang panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Score Sports Management, Patricia Tan gembira dengan kejayaan edisi kali ini yang menarik penyertaan 33,000 pelari dari 48 buah negara.
“Ini adalah penganjuran kali ke-12 dan berjaya menarik 33,000 peserta dengan penyertaan paling ramai dalam acara 21km. Terima kasih kepada semua peserta yang memberikan sokongan.
“Tahun depan harap dapat menarik lebih ramai lagi peserta. Objektif kami adalah untuk menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat,” ujarnya.