July 23, 2024

Turunkan harga telur, PN anggap kerajaan berlawak

Turunkan harga telur, PN anggap kerajaan berlawak


KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan menurunkan harga telur ayam kepada tiga sen sebiji mendapat kenyataan sinis Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dianggap lawak.

Jelasnya, pengumuman itu dianggap canggung apabila jurucakap kerajaan, Ahmad Fahmi Fadzil beriya-iya membuat kenyataan kerajaan akan membuat pengumuman khas mengenai mekanisme barang keperluan sebelum ini.

“Inikah pengumuman (pengumuman penurunan harga telur) yang Fahmi Fadzil beria-ria nak suruh kita tunggu daripada Perdana Menteri ke-10 kita itu?

“Takkan ini tahap pengumuman Perdana Menteri? Bang Mat Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu) pun cukup kot.

“Kerajaan ini kuat berlawak. Rosak punah makna Madani,” katanya dalam satu kenyataan.

Awal hari ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan sinis berkata pihaknya menjangkakan Anwar akan mengumumkan satu mekanisme komprehensif untuk menurunkan harga barang.

Bagaimanapun, kata bekas perdana menteri itu, jangkaannya meleset apabila tiada sebarang kenyataan mengenai pakej ekonomi dan bantuan rakyat bernilai RM4 bilion yang bersamaan dengan jumlah penjimatan perbelanjaan kerajaan hasil penyasaran subsidi.

Semalam, Anwar berkata kerajaan memutuskan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

Kini, harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat 17 Jun lalu. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top