Pempengaruh media sosial yang juga suami kepad apenyanyi, Shila Amzah iaitu Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli atau lebih dikenali sebagai Ubai MZ berkongsi antara fasa terendah dalam hidupnya.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang individu tampil mengajukan soalan mengenai ujian paling berat yang pernah dialami seseorang sehingga pengalaman tersebut menjadi titik perubahan untuk lebih mendekatkan diri kepada Tuhan.
“Apa ujian paling berat yang pernah dekatkan awak dengan Allah,” soalnya.

Sedar dengan hantaran berkenaan, Ubai tampil berkongsi pengalamannya apabila memaklumkan, dia kehilangan arwah adiknya seminggu sebelum dia mengikat tali pertunangan.
Bukan itu sahaja, dia juga turut kehilangan ibunya Allahyarham Rohani Jamil enam hari sebelum dia melangsungkan pernikahan dengan Shila.
“Arwah adik meninggal depan saya, seminggu sebelum saya bertunang. Arwah mak meninggal depan saya, enam hari sebelum saya bernikah.
“Selepas pemergian kedua-dua insan hebat ini, ada ujian yang saya perlu hadapi sehingga hari ini,” katanya.
Dalam hantaran sama, Ubai bagaimanapun meluahkan rasa syukur disebalik ujian yang dilaluinya.
Malah, dia percaya takdir Allah SWT itu lebih indah dan sempurna.
“Apa-apa pun syukur alhamdulillah, disebalik ujian ada rezeki yang diberikan.
“Takdir Allah itu sempurna, jika satu pintu tertutup pasti Dia membuka jalan yang lebih indah untuk kita,” jelasnya.
Sekadar info, arwah Azrul meninggal dunia pada 4 Mei 2023 akibat terlibat dalam kemalangan tragis yang meragut nyawanya.
Malah, dua bulan kemudian arwah ibu Ubai pula meninggal dunia akibat kanser ovari tahap tiga pada 30 Julai tahun yang sama.






