June 14, 2024

UMNO alami krisis identiti yang sangat mendalam – Shahril


KUALA LUMPUR – UMNO didakwa sedang mengalami krisis identiti yang sangat mendalam.

Bekas Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan mendakwa parti terbesar orang Melayu itu kini tidak mempunyai ‘DNA’ yang jelas.

Berikutan itu, katanya, UMNO sukar mempromosikan kedudukannya sebagai parti politik ‘Melayu sederhana’ kerana tidak mempunyai pemimpin seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin.

Selain itu, gagasan itu telah dibawa oleh parti lain.

“DNA UMNO sudah tidak tidak jelas. Apa dia? Pas kita tahu apa yang dia jual dan apa yang dia tawarkan kepada rakyat. Walaupun tidak disebut atas kertas, dalam manifesto tapi bila pengundi pangkah Pas mereka tahu sentimen dia apa.

“DAP pun sama walaupun mereka kata hormat perlembagaan tetapi DAP adalah satu parti yang menjadi simbol kepada perubahan, Malaysia yang lebih saksama.

“Sekarang ini UMNO apa? Adakah masih lagi parti memperjuangkan hak-hak Melayu seperti dahulu? Bila bersama dengan PH, DAP sudah susah untuk jual. Sudah ada alternatif untuk mengundi berasaskan hak Melayu iaitu Perikatan Nasional,” katanya.

Menurut beliau, gagasan politik Melayu sederhana turut dibawa oleh PKR yang menjadi parti sekutu UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sukar untuk UMNO cari dan jual DNA dia. Apa yang ada retail politik dengan memaparkan wakil rakyat UMNO ini adalah yang paling memberi khidmat di kawasan, paling bagus.

“Saya masih rasa ia tidak cukup, bukan strategi mampan dan boleh membawa kemenangan di sesetengah tempat tetapi sebagai politik kebangsaan UMNO gagal. DNA tak dapat dicerita, dijual dan ditawar. Trend ini akan berterusan,” kata Shahrir.

Beliau berkata demikian dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ yang turut dihoskan secara bersama oleh Khairy Jamaluddin yang membicarakan sambutan ulangtahun ke-78 UMNO baru-baru ini.

Sementara itu Khairy Jamaluddin berpendapat, masih ada pemimpin UMNO yang boleh memperjuangkan naratif ‘Melayu sederhana’ dalam usaha memikat pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani antara pemimpin parti melambangkan sentimen Melayu sederhana.

Bagaimanapun menurut Khairy Jamaluddin, mereka gagal untuk menyerlahkan sifat tersebut dalam usaha menarik sokongan kepada UMNO.- MalaysiaGazette

 

 



Source link

OR

Scroll to Top