July 27, 2024

PN perlu strategi baharu, tak boleh selesa kerusi majoriti Melayu – Pejuang

PN perlu strategi baharu, tak boleh selesa kerusi majoriti Melayu – Pejuang


KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) perlu menggerakkan strategi untuk menarik minat pengundi daripada pelbagai kaum setelah kalah di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang majoritinya adalah pengundi Melayu.

Ketua Majlis Pimpinan Negeri Parti Pejuang Selangor, Harumaini Omar berkata pendekatan politik sempit yang melihat kepentingan parti berbanding kepentingan rakyat keseluruhan wajar dielakkan pada masa hadapan.

“Isu-isu berkaitan kriteria pemilihan calon, kekuatan jentera di lapangan, gabungan dengan parti-parti Melayu dan parti bukan Melayu lain serta keserasian gerak kerja di antara parti-parti komponen perlu dilihat semula secara objektif.

“Di dalam PRN Selangor yang lepas, terdapat beberapa kerusi DUN yang hanya dimenangi dengan majoriti tipis oleh calon-calon PN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Harumaini yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali turut berkata, jika PN Selangor serius untuk membentuk kerajaan negeri, gabungan itu perlu keluar daripada zon selesa dan mencari rakan-rakan gabungan bagi membentuk “PN Plus”.

“Dalam pertarungan politik yang sengit terutamanya di negeri Selangor, konsep “galah sejengkal” yang pernah diungkap Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat atau “PN Plus” perlu diperhalusi dalam membina kekuatan dan relevan PN untuk menjadi parti alternatif kepada gabungan PH-BN,” katanya lagi.

Sabtu lalu, Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) selepas calonnya Pang Sock Tao memenangi pilihan raya kecil dengan majoriti 3,869 undi.

Sock Tao memperoleh 14,000 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional Khairul Azhari Saut (10,131 undi), calon Bebas Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia Hafizah Zainuddin (152 undi).

Kira-kira 60 peratus daripada 39,362 pengundi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu selepas kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top