DUNGUN: Seorang wanita yang putus kaki kiri dalam kemalangan di Kilometer 341 Lebuhraya Pantai Timur 2 berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Paka di sini, semalam meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Dungun.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh berkata, ketika kejadian, Mariah Che Hassan, 57, yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 bersama empat individu lain sedang dalam perjalanan menghala ke Kuantan, selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Berang.
“Kemalangan kira-kira pukul 5.15 petang itu berlaku apabila pemandu kenderaan itu disyaki terlelap semasa memandu menyebabkan kenderaan berkenaan hilang kawalan sebelum merempuh penghadang besi lebuhraya.
“Pemandu dan tiga lagi penumpang lain mengalami kecederaan ringan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN






