Rakyat tak perlu risau, bekalan minyak Malaysia masih mencukupi – Amir Hamzah

Rakyat tak perlu risau, bekalan minyak Malaysia masih mencukupi – Amir Hamzah

Rakyat tak perlu risau, bekalan minyak Malaysia masih mencukupi – Amir Hamzah


Malaysia tidak berdepan sebarang gangguan bekalan minyak meskipun konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini memberi tekanan kepada rantaian bekalan tenaga global.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan memberi keutamaan kepada usaha memastikan bekalan bahan api dalam negara kekal mencukupi bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada rakyat dan sektor perniagaan.

Beliau berkata, setakat ini negara tidak mengalami kekurangan bekalan minyak dan pengguna masih boleh mendapatkan bahan api seperti biasa tanpa sebarang sekatan atau catuan.

“Kita telah berjaya memastikan bekalan yang ada mencukupi dan konsisten dalam negara.
“Bila tidak ada kekurangan bekalan, rakyat tidak perlu risau untuk mengisi minyak dan peniaga juga boleh terus mendapatkan bekalan diperlukan untuk menjalankan perniagaan mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan dan beramah mesra bersama peniaga di Pasar Tani Kelana Jaya pada Sabtu.

Menurut Amir Hamzah, kestabilan bekalan itu dicapai hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat tenaga negara yang terus berusaha mendapatkan sumber bekalan baharu bagi memenuhi keperluan domestik.

Beliau menjelaskan, kerajaan turut mengambil langkah mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga global terhadap rakyat menerusi mekanisme subsidi bersasar yang dilaksanakan ketika ini.

Katanya, harga minyak RON95 bersubsidi masih dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter walaupun harga minyak mentah dunia dipengaruhi faktor geopolitik dan ketidaktentuan pasaran antarabangsa.

“Kita mahu mengurangkan beban rakyat, oleh sebab itu RON95 masih dijual pada harga yang jauh lebih rendah berbanding harga pasaran di banyak negara lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sedang memperkukuhkan strategi keselamatan tenaga negara dengan mempelbagaikan sumber bekalan bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran atau negara tertentu.

Artikel lain: Malaysia bernasib baik, bekalan minyak dan gas terjamin – PM Anwar

Menurutnya, pendekatan itu penting sebagai langkah pengurusan risiko sekiranya berlaku gangguan bekalan akibat konflik, bencana atau ketidaktentuan geopolitik.

“Kita tidak mahu bergantung kepada satu sumber sahaja, jika ada masalah di satu kawasan, kita masih mempunyai pilihan bekalan daripada sumber lain.
“Itu antara strategi yang sedang diperkukuhkan bagi memastikan bekalan tenaga negara terus stabil,” katanya lagi.

Beliau turut mengakui konflik di Timur Tengah boleh memberi kesan kepada kos pengeluaran dan harga beberapa produk tertentu.

“Bagaimanapun, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa serta mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan impak kepada rakyat dan industri,” jelas beliau.

Sumber: Sinar Harian (Mohd Izzatul Izuan Tahir)





Source link

OR

Scroll to Top