Usah tuding jari – Hannah

Usah tuding jari – Hannah


PERANG dingin melibatkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung kegagalan meraih sasaran empat pingat emas pada Sukan Paralimpik Paris 2024 tidak boleh diselesaikan menerusi sikap menunding jari mencari salah.

Sebaliknya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, langkah terbaik ialah di meja rundingan menerusi perbincangan secara bersama melibatkan semua pemegang taruh.

Malah beliau berkata, MPM turut mempunyai wakil dalam Lembaga MSN dan semua perkara berbangkit boleh dibincang menerusi platform tersebut.

“Harmoni itu sangat penting kerana ada tanggungjawab bersama antara MPM, MSN, MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan ISN (Institut Sukan Negara).

“Saya tidak suka tuding jari. Saya lebih suka kita duduk bersama. Kalau ada salah faham mereka perlu duduk bersama dan selesaikan. Apa-apa isu pun saya percaya rundingan bersama itu penting dan kita hormati.

“Dalam Lembaga MSN kita boleh selesaikan apa-apa isu. Datuk R Subramaniam (ketua kontinjen negara ke Sukan Paralimpik Paris) pun ada bersama dalam lembaga itu,” katanya ketika ditemui media pada majlis penutup mini kejohanan para olahraga di Kompleks Sukan MSN Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou berharap ‘perang dingin’ antara MSN dan MPM susulan kegagalan membawa pulang empat emas daripada Paralimpik Paris tidak berlarutan.

Situasi panas tercetus apabila Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mendakwa campur tangan MSN pada Sukan Paralimpik Paris 2024 menyebabkan kontinjen negara gagal meraih empat pingat emas yang disasarkan.

Malah Megat D Shahriman juga mahu berbincang dengan MSN bagi mencadangkan agar hanya satu pihak mengetuai kontinjen negara pada mana-mana temasya sukan akan datang.

Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub menolak tuduhan tersebut dengan menyifatkannya sebagai melampau dan tidak berasas.

Hannah turut berasa hairan Megat D Shahriman membangkitkan perkara tersebut sedangkan beliau berada kira-kira seminggu di Paris bersama presiden MPM itu dan Subramaniam.

Malah beliau berpendapat sebenarnya tiada isu, namun mungkin ia timbul selepas Datuk Abdul Latif Romly gagal meraih pingat emas seperti disasarkan oleh MPM.

“Seperti yang telah dijawab oleh ketua pengarah MSN, tiada isu. Seminggu saya di situ (Paris) bersama Subramaniam dan semua, Malah saya juga ada jumpa Megat D Shahriman, tetapi dia tidak pernah bangkitkan isu ini.

“Cuma bila dua atlet yang sepatutnya dapat emas, tetapi dapat perak, tiba-tiba jadi isu panas. saya percaya kalau mereka menang (dapat emas), tak ada isu.

“Namun secara tiba-tiba Abdul Latif dapat pingat perak, selesai majlis saya keluar ada wartawan beritahu saya MSN perlu dipersalahkan. Saya rasa tidak wajar, kita perlu kerja bersama-sama membangunkan sukan negara,” katanya.

Hannah juga percaya semua atlet mahukan pingat emas setelah mereka bekerja keras dan usaha tersebut perlu dihargai.

“Kita tahu Abdul Latif mengalami kecederaan tiga hari sebelum pertandingan. Saya pergi sendiri dan faham. Kalau kita duduk dalam bilik dan tengok keputusan, mungkin kita akan salahkan semua orang.

“Tetapi kalau kita lihat sendiri cabaran itu, bukan senang untuk atlet,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top