Waspada terhadap kisah Israiliyyat dan hadis palsu

Waspada terhadap kisah Israiliyyat dan hadis palsu


– Advertisement –

KUALA LUMPUR: Umat Islam diseru berhati-hati dengan penyebaran kisah Israiliyyat dan hadis palsu yang sering tersebar dalam kalangan masyarakat, terutamanya pada waktu-waktu tertentu seperti bulan Rejab. 

Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menjelaskan, pada zaman Rasulullah SAW, masyarakat Islam hidup bergaul dengan pelbagai bangsa termasuk Yahudi sehingga pelbagai kisah dan cerita dari mereka tersebar.

Namun jelasnya, Rasulullah SAW mengingatkan agar berhati-hati terhadap kisah-kisah itu, terutama jika ia bercanggah dengan ajaran Islam. 

“Sayyidina Umar, seorang Sahabat yang tegas, tidak berkompromi dalam hal ini. Beliau sangat marah apabila mendengar orang Islam merujuk kepada sumber Israiliyyat.

“Baginya, al-Quran dan hadis sudah mencukupi sebagai pedoman hidup. Tiada keperluan untuk bergantung kepada kitab atau cerita daripada mereka yang menolak kebenaran Nabi Muhammad SAW,” katanya dalam media sosial miliknya.

Beliau turut mengulas bahawa kisah Israiliyyat sering ditemui dalam karya tafsir klasik seperti Tafsir At-Tobari.

Imam At-Tobari RH menurutnya, menyusun tafsir dengan mengumpulkan pelbagai riwayat untuk menjelaskan ayat al-Quran, termasuk riwayat Israiliyyat.

Namun katanya, kisah tersebut tidak dijadikan asas hukum atau akidah, sebaliknya hanya dicatatkan untuk makluman dan kadangkala menjelaskan status riwayat tersebut.

“Ketika itu, kebanyakan pembaca kitab adalah orang yang berilmu, jadi mereka mampu membezakan mana yang boleh dijadikan panduan dan mana yang tidak.

“Ada juga ulama yang lebih berhati-hati. Mereka menyebut kisah Israiliyyat sambil memberikan panduan tentang mana satu yang boleh diterima dan mana yang perlu ditolak. Malangnya, ada juga golongan yang menerima semuanya tanpa saringan,” katanya.

Mohd Amar memberi contoh cerita masyhur dari kisah Israiliyyat yang tersebar dalam kitab-kitab lama, iaitu dunia dikatakan berada di atas tanduk seekor lembu, manakala lembu itu pula berdiri di atas ikan nun.

Ceritanya, pergerakan ikan nun dikatakan menyebabkan gempa bumi.

“Cerita ini tersebar luas di kampung-kampung pada zaman dahulu sehingga ada yang benar-benar mempercayainya,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai bulan Rejab, beliau berkata, pelbagai hadis dan cerita mengenai kelebihan bulan itu mula tersebar.

“Ada yang sahih, tetapi ada juga yang palsu. Kadang-kadang, kisah-kisah ini menimbulkan rasa bersalah apabila kita tidak mampu melakukan ibadah tertentu seperti puasa di bulan ini,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa fenomena menyebarkan hadis tanpa menyelidik asal-usulnya semakin menjadi kebiasaan.

“Lebih menyedihkan, hadis yang sahih kurang dipegang dan diamalkan, manakala hadis yang tidak jelas asal-usulnya, apatah lagi yang dhaif atau palsu, menjadi rujukan seolah-olah ia sebahagian daripada agama,” katanya.

Mohd Amar menjelaskan bahawa dalam soal fadhilat amalan, ulama memberi kelonggaran untuk merujuk kepada hadis dhaif, asalkan ia tidak bercanggah dengan prinsip agama dan tidak digunakan untuk menetapkan hukum.

Namun katanya, hadis maudhu’ atau palsu sama sekali tidak boleh diterima. 

Beliau turut menegur sikap segelintir masyarakat yang menerima dan menyebarkan mesej-mesej kononnya daripada hadis tanpa menyelidik kesahihannya.

“Kadang-kadang, ia diterima hanya kerana ia diucapkan oleh seorang individu yang dianggap berilmu, tanpa menyelidik kesahihan maklumat tersebut.

“Contoh yang kerap berlaku ialah menerima mesej-mesej yang kononnya hadis, lalu dengan penuh semangat disebarkan kepada semua kenalan.

“Telefon menjadi sarat dengan mesej-mesej ini, namun apabila ditanya sumbernya, sering kali jawapannya adalah, ‘dapat dari seorang ustaz.’

“Tidak semua yang berkilau itu adalah zamrud yang tulen. Jika tidak berhati-hati, kita mungkin tertipu dengan kaca yang nampak berkilau tetapi tiada nilainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/1/2025

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top