CHATTANOOGA: Kem Sepanyol menerima suntikan moral menjelang aksi pembukaan Piala Dunia 2026 apabila dua tonggak sayap sensasi, Lamine Yamal dan Nico Williams kembali menjalani latihan bersama pasukan.
Kehadiran semula kedua-dua pemain itu sedikit sebanyak meredakan kebimbangan penyokong La Roja yang sebelum ini gusar dengan tahap kecergasan mereka menjelang pertemuan menentang Cape Verde di Atlanta, Isnin ini.
Yamal tidak beraksi sejak mengalami kecederaan hamstring pada 22 April lalu, manakala Williams turut terlepas aksi kompetitif selama sebulan selepas diketepikan pada penghujung musim bersama Athletic Bilbao.
Kedua-dua pemain muda itu menjadi watak penting ketika membantu Sepanyol menjulang kejuaraan Euro 2024 dan dianggap antara senjata utama pasukan kendalian Luis de la Fuente di Amerika Syarikat.
Walaupun sudah kembali berlatih, media Sepanyol melaporkan De la Fuente dijangka tidak mengambil risiko menurunkan mereka dalam kesebelasan utama bagi aksi pembukaan.
Sebaliknya, jurulatih berusia 64 tahun itu dijangka mengekalkan skuad yang menewaskan Peru 3-1 dalam aksi pemanas badan terakhir awal minggu ini.
Alex Baena dan Ferran Torres diramal sekali lagi diberikan tanggungjawab mengisi posisi sayap sementara menunggu Yamal dan Williams mencapai tahap kecergasan optimum.
Juara dunia 2010 itu diundi dalam Kumpulan H bersama Cape Verde, Afrika Selatan dan Uruguay dengan misi memburu gelaran kedua selepas kejayaan bersejarah di Afrika Selatan 16 tahun lalu. – AGENSI






