Skuad hoki remaja negara tewas 3-1

Skuad hoki remaja negara tewas 3-1


PETALING JAYA: Hasrat skuad hoki remaja negara untuk mara ke suku akhir Piala Dunia Hoki Remaja tidak kesampaian apabila tewas 3-1 kepada England dalam aksi terakhir Kumpulan E di Tamil Nadu, India, hari ini.

Gawang pasukan negara bocor seawal minit keempat selepas Henry Markham menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti.

Tambahan dua gol England dijaringkan oleh Michael Royden dan Alex Chihota masing-masing pada minit ke-36 dan ke-57.

Gol tunggal skuad negara dijaringkan oleh Azimuddin Shakir Kamaruddin pada minit ke-47.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin menamatkan kempen Kumpulan E di tangga ketiga dan akan beraksi dalam penentuan tempat kesembilan hingga ke-16.

Nor Saiful berkata, secara keseluruhan pemainnya bermain dengan baik namun skil individu pemain lawan menjadi kelebihan kepada mereka.

“Pada perlawanan hari ini saya tengok kita ada timbal balik antara England dan Malaysia di mana kita juga ada menyerang dan bertahan.

“Tetapi individu mereka dapat menjaringkan tiga gol dan satu pukulan sudut penalti. Kita tengok lawan dapat 16 pukulan sudut penalti cuma satu bolos.

“Hari ini pemain kita bertahan dengan baik ketika lawan mengambil pukulan sudut penalti cuma yang ketara adalah kita dapat masuk ke kawasan gol lawan tapi tak dapat jaringkan banyak gol. Ini kita perlu lihat dengan lebih teliti,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top