Chin Tong sedia lepas jawatan Pengerusi DAP Johor

Chin Tong sedia lepas jawatan Pengerusi DAP Johor


JOHOR BAHRU – Liew Chin Tong sedia berundur daripada jawatannya sebagai Pengerusi DAP Johor untuk memberi ruang kepada Timbalannya, Teo Nie Ching.

Menurutnya yang juga Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, ini kerana sudah sudah 10 tahun mengetuai parti tersebut di negeri ini.

“Saya telah berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN).

“Sebagaimana yang telah saya umumkan, saya akan tetap bertanding untuk menduduki Jawatankuasa Negeri DAP Johor dalam pemilihan yang akan diadakan pada hari ini.

“Namun jika dipilih sekali lagi, saya akan mencalonkan Teo Nie Ching untuk jawatan Pengerusi DAP Johor,” katanya pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Johor di Taman Ekoflora di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Nie Ching yang juga Ketua Wanita DAP Kebangsaan dan Setiausaha DAP Johor, Andrew Chen Kah Eng.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berharap cadangan melantik Nie Ching sebagai Pengerusi DAP Johor akam mendapat sokongan ahli.

“Perpaduan adalah kekuatan kita, dan perpaduan adalah kunci kemenangan,” ujarnya yang juga juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling.

Beliau yakin Nie Ching akan memimpin DAP di Johor dan membawanya ke era yang lebih baik.

Dalam pada itu, Chin Tong menyatakan penghargaan kepada parti dan para perwakilan yang telah memberikan sokongan kepadanya sepanjang mengetuai DAP Johor.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada anda semua di sini, termasuk para pemimpin dan ahli atas sokongan yang diberikan kepada saya sepanjang satu dekad sebagai Pengerusi DAP Johor,” katanya.

DAP Johor kini memiliki 10 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022.

Teo Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai merupakan Timbalan Menteri Komunikasi.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top