rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah dan penyanyi rap kontroversi, Namewee akan menghantar representasi bagi mengkaji dua pertuduhan memiliki bahan terlarang iaitu sildenafil dan methamphetamine yang dihadapinya.
Perkara itu dimaklumkan peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dalam prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Nur Aminahtul memberitahu Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim bahawa pihaknya akan menyerahkan representasi berkenaan dalam tempoh seminggu.
“Sehubungan itu, saya mohon mahkamah menetapkan tarikh untuk pihak pendakwaan memaklumkan mengenai representasi itu,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 April depan untuk keputusan representasi terbabit.
Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal.
Namewee atau nama sebenar Wee Meng Chee, 43, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memiliki bahan terlarang, tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Namewee didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 1.57 gram di dalam bilik di sebuah hotel di Jalan Conlay, pada 22 Oktober 2025.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa memiliki sildenafil (ubat preskripsi untuk merawat mati pucuk) dengan berat bersih 0.78 gram pada masa dan lokasi sama, mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret berlainan melepas dan membebaskan Namewee daripada pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya.
Namawee ditahan polis di hotel berkenaan pada Oktober tahun lalu dan turut disiasat bagi kes kematian pempengaruh Taiwan, Hsieh Yun Hsin.
© New Straits Times Press (M) Bhd






